Diserang lelaki tidak dikenali depan rumah

A
A
A

DUNGUN - Seorang penduduk di sini nyaris cedera selepas diserang seorang lelaki tidak dikenali menggunakan penyodok pasir di rumahnya di Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya di sini Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang, lelaki berkenaan berada di hadapan rumah mangsa yang berusia 53 tahun sebelum mengamuk sambil menghayun sebatang penyodok pasir.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sejurus ternampak mangsa, suspek terus bertindak menghayun penyodok itu namun bernasib baik kerana mangsa sempat mengelak.

"Akibat rasa tidak puas hati, suspek sekali lagi menyerang mangsa sebelum berlaku pergelutan di antara mereka.

"Kekecohan itu disedari beberapa penduduk kampung yang kebetulan ada di sekitar lokasi sebelum cuba meleraikan pergelutan di antara mangsa dan suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Baharudin berkata, suspek yang berjaya ditangkap penduduk kampung dibawa ke Balai Polis Ketengah Jaya di sini untuk tindakan lanjut.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel Berkaitan: