Tiga penunggang maut: PDRM sifatkan tragedi menyayat hati

Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan
Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan
A
A
A

KUANTAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan kejadian kemalangan yang meragut tiga nyawa penunggang motosikal jenis Yamaha 15ZR atau 'Ysuku' malam tadi sebagai tragedi menyayat hati.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, kejadian itu merekodkan angka tinggi dalam kemalangan jalan raya di daerah Kuantan.

"Kami merasa sedih kerana dalam tempoh Op Selamat 2020, ini adalah kemalangan maut yang melibatkan satu jumlah yang tinggi iaitu tiga orang.

"Penunggang motosikal mahupun pemandu konvoi diingatkan agar memaklumkan kepada polis trafik mengenai pergerakan konvoi, mematuhi undang-undang jalan raya, sentiasa mengingati orang tersayang dan amalkan prinsip biar lambat asal selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kesemua jenazah mangsa telah dituntut waris masing-masing sekitar jam 7 pagi tadi di bilik forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Malam tadi, Sinar Harian melaporkan tiga penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan lima motosikal jenis Yamaha 15ZR atau 'Ysuku' yang sedang berkonvoi pulang dari arah Kuantan ke Maran di Kilometer 201 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut motosikal bergesel sesama sendiri

Dalam kejadian antara jam 9 dan 9.30 malam itu, mangsa yang maut ialah kontraktor, Azlee Mat Daud, 39; pekerja am, Syamil Nazir, 32, dan pekerja bengkel besi, Muhammad Amirul Faris Abdullah, 25.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang cedera ialah Mohd Issham Sulaiman, 39, dan Mohd Firdaus Shamsudin, 37.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Turut kelihatan di HTAA ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin yang menziarahi waris mangsa.