Pengusaha cendawan terjejas akibat cuaca panas

Pengusaha cendawan Volvariela, Ismail Ibrahim, 63, memeriksa cendawan Volvariella pada batas tanaman ekoran cuaca panas dan kering di Kampung Musa semalam. - Foto: Bernama
Pengusaha cendawan Volvariela, Ismail Ibrahim, 63, memeriksa cendawan Volvariella pada batas tanaman ekoran cuaca panas dan kering di Kampung Musa semalam. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA NERANG - Cuaca panas yang melanda negeri ini sejak November lepas bukan hanya memberi kesan kepada tanaman padi tetapi juga tanaman cendawan Volvariella yang menyebabkan pengusahanya mengalami kemerosotan hasil.

Ismail Ibrahim, 63, yang mengusahakan cendawan Volvariella di Kampung Musa, di sini mendakwa sebelum ini beliau mampu mendapat hasil sekitar 30 kilogram cendawan sehari, namun merosot kepada 10 hingga 15 kilogram sejak sebulan lepas.

“Cukup terjejas kerana cendawan Vovariella perlu keadaan lembab untuk pertumbuhan, namun keadaan cuaca yang panas menyebabkan batas tanaman saya menjadi kering menyebabkan cendawan tidak boleh tumbuh.

“Bagi memastikan tanaman yang ada bertahan, saya terpaksa menyiram dua hari sekali kawasan tanaman untuk memastikan ia sentiasa lembab dan memastikan anak cendawan tumbuh,” katanya.

Katanya, cendawan Vovariella itu diusahakan di kebun getah miliknya dengan pokok-pokok getah yang ada menjadi pelindung tanamannya daripada terik matahari.

Namun, Ismail berkata, ia masih tidak mampu menyelamatkan cendawannya apabila keadaan cuaca panas yang tinggi ketika ini menyebabkan daun pokok getahnya kering dan gugur.

Disebabkan pengurangan hasil tanaman itu, Ismail berkata, beliau terpaksa membuat catuan jualan dan hanya menjual kepada pelanggan tetap di sekitar bandar ini dengan harga RM15 sekilogram.

Situasi sama turut dihadapi Mohd Azrul Nizam Othman, 40, yang turut mengusahakan cendawan Volvariella di Kampung Belukar Luas di sini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jika sebelum ini kebunnya mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 kilogram cendawan sehari, namun keadaan cuaca panas menyebabkan beliau hanya memperoleh hasil sekitar lima kilogram sehari.

“Dulu siraman hanya dibuat pada awal tanaman, tapi waktu ini saya pam air dari kolam takungan berdekatan untuk siram batas tanaman setiap hari bagi mengelakkan tanaman mati dan kering,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dilaporkan berkata cuaca panas dan kemarau di negeri ini menyebabkan berlakunya masalah bekalan air di beberapa kawasan dan boleh memberi kesan buruk kepada jaminan bekalan makanan bukan sahaja padi tetapi juga ikan apabila suhu air laut meningkat.

Kelmarin (Khamis), Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Fouzi Ali memaklumkan kedudukan air di tiga empangan utama di negeri ini semakin menurun dengan kapasiti Empangan Muda berada pada tahap 11.76 peratus.

Kapasiti air di dua lagi empangan iaitu Empangan Ahning berada pada paras 60.67 peratus, sementara Empangan Pedu, 43.87 peratus.

Keadaan cuaca panas di negeri ini dan Utara Semenanjung dijangka berlarutan sehingga Mac ini. - Bernama