Muafakat Nasional Perak umum enam resolusi

Ahmad Zahid (tiga dari kiri) menerima resolusi daripada Razman manakala Abdul Hadi (tiga dari kanan) menerima resolusi daripada Saarani pada Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak di Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk, Sungai Sumun di sini hari ini.
Ahmad Zahid (tiga dari kiri) menerima resolusi daripada Razman manakala Abdul Hadi (tiga dari kanan) menerima resolusi daripada Saarani pada Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak di Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk, Sungai Sumun di sini hari ini.
A
A
A

BAGAN DATUK - Konvensyen Muafakat Nasional Perak yang berlangsung hari ini tampil dengan enam resolusi.

Keenam-enam resolusi itu dibacakan bersama Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria di hadapan kira-kira 4,000 perwakilan yang hadir pada konvensyen itu.

Antara resolusi yang diumumkan termasuklah berusaha sedaya-upaya untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan membentuk kerajaan Muafakat Nasional Negeri Perak dan Persekutuan secara bermaruah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan ketika konvensyen berkenaan berkata, resolusi yang diumumkan itu dibaca dengan tekad bahawa Muafakat Nasional mampu membentuk kerajaan di Perak dan menawan semula Putrajaya pada PRU15 nanti.

Menurutnya, Muafakat Nasional Perak dijangka mampu memperoleh sekurang-kurangnya 40 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 daripada 24 kerusi Parlimen di Perak pada PRU akan datang.

"Saya mengharapkan resolusi yang dibaca jangan tinggal resolusi atas kertas sahaja. Kita yakin pemimpin UMNO dan Pas akan menterjemahkannya dengan tindakan sehingga terbentuk kerajaan baharu Perak di bawah Muafakat Nasional.

"Sokongan terhadap Muafakat Nasional ini perlu diteruskan, jangan ada noktah. Kita juga menghargai sokongan rakan-rakan komponen dan friends of BN untuk mengukuhkan lagi Muafakat Nasional," katanya yang menyempurnakan perasmian penutup Konvensyen Muafakat Nasional Negeri Perak di Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk, Sungai Sumun di sini, hari ini.

Hadir sama pada konvensyen itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam sidang media selepas konvensyen, Ahmad Zahid berkata, konvensyen yang berlangsung di Perak merupakan siri konvensyen yang bermula di Kedah dan akan diteruskan selepas ini.

Menurutnya, resolusi yang dibentangkan bergantung kepada negeri mengikut keadaan semasa di negeri masing-masing.

Jelasnya, perkara yang penting adalah kerjasama UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Pas memerlukan dokongan rakyat.

Enam resolusi yang dikeluarkan itu hasil perbahasan kedua-dua wakil parti terhadap pembentangan dua kertas kerja oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Idris pada konvensyen berkenaan.

Resolusi Muafakat Nasional Perak:

1. Menghormati dan menerima pakai segala yang termaktub di dalam Piagam Muafakat yang dimeterai pada 14 September 2019.

2. Berusaha sedaya-upaya untuk memenangi Piihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan membentuk kerajaan Muafakat Nasional Negeri Perak dan Persekutuan secara bermaruah.

3. Memelihara dan mempertahankan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan raja-raja Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera tanpa mencabuli hak-hak kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

4. Meneruskan perjuangan Muafakat Nasional dalam acuan masyarakat majmuk khususnya dalam bidang agama, ekonomi, pendidikan, sosio-budaya dan politik yang menjadi teras pembangunan negara bangsa yang harmoni, maju dan sejahtera.

5. Memberikan kepercayaan dan walak kepada pucuk pimpinan tertinggi Muafakat Nasional dalam menyelesaikan sebarang isu untuk memelihara dan mempertahankan semangat serta jati diri permuafakatan yang murni dan abadi di antara warga dan komponen Muafakat Nasional demi kelangsungan wadah perjuangan bersama.

6. Menjadikan al-Quran, as-Sunnah, Ijmak ulama dan qias sebagai sumber hukum dan rujukan yang tertinggi dalam sistem pemerintahan Muafakat Nasional.