Jakim saran jabatan, Majlis Agama Islam negeri adakan solat hajat

Paimuzi Yahya
Paimuzi Yahya
A
A
A

PUTRAJAYA - Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat Isyak malam ini bagi memohon agar Malaysia dilindungi ALLAH daripada wabak koronavirus.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya berkata, Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri turut disaran menganjurkan solat hajat dan doa selamat di masjid di bawah seliaan masing-masing susulan pengesahan jangkitan pertama kes koronavirus di Malaysia melibatkan tiga pelancong dari China yang disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Paimuzi berkata, Jakim menjemput umat Islam untuk turut serta menunaikan solat hajat dan memperbanyakkan doa bagi memohon perlindungan Ilahi.

Di samping itu katanya, umat Islam perlu mengikuti saranan amalan kesihatan sepertimana disyorkan KKM.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut menyarankan kepada semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat hajat selepas solat Isyak bermula hari ini bagi tujuan yang sama.

"Semoga ALLAH memelihara negara daripada sebarang penularan wabak penyakit yang tidak diingini serta memudahkan pihak berkuasa dalam menangani segala urusan yang berkaitan dengan perkara ini," menurut kenyataan media oleh Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jawi hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: