Tiga remaja ditahan miliki bakakuk di Beluran

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BELURAN - Tiga remaja lelaki ditahan kerana disyaki memiliki selaras senapang buatan sendiri atau dikenali sebagai bakakuk dan empat butir peluru hidup.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, dua daripada suspek berumur 16 tahun dan seorang lagi 19 tahun ditahan di kawasan Ladang Myvin 2 Telupid bersempadan dengan kawasan Hutan Simpan Tawai.

"Mereka ditahan oleh pihak Jabatan Perhutanan Sabah yang telah membuat rondaan dan pemeriksaan di kawasan tersebut berikutan maklumat dan aduan awam yang diterima.

"Tangkapan dibuat semalam, jam lebih kurang 4 petang dan siasatan membawa kepada penemuan selaras senapang bakakuk berisi sebutir peluru hidup yang disembunyikan di dalam timbunan pelepah kelapa sawit di kawasan ladang berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kasim berkata, tiga lagi butir peluru hidup dijumpai dalam sebuah beg yang dipegang oleh salah seorang suspek.

Beliau juga berkata, suspek ditahan kerana disyaki ingin melakukan pemburuan haram di kawasan hutan simpan bersempadan dengan ladang sawit itu.

Katanya, pihak Jabatan Perhutanan turut merampas sebilah parang daripada suspek yang dipercayai digunakan untuk tujuan berburu.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek mempunyai tali persaudaraan dan dua daripada mereka pula masih menuntut di sebuah sekolah menengah di Telupid.

Artikel Berkaitan:

Suspek dan barang rampasan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. - Bernama