Abang Johari meriahkan rumah terbuka Pengerusi PH Sarawak

Abang Johari Tun Openg
Abang Johari Tun Openg
A
A
A

KUCHING - Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg buat julung kalinya mengunjungi rumah terbuka Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen sempena sambutan Tahun Baru Cina 2020 hari ini.

Abang Johari tiba di Christian Ecumenical Worship Centre di sini kira-kira jam1.45 petang dan disambut mesra oleh Chong serta beberapa pemimpin tertinggi DAP Sarawak antaranya Ahli Parlimen Padungan, Wong King Wei. Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jumut Masing serta isteri, Corrinne Buya Nyipa.

Tarian naga disulami dengan paluan gendang mengiring kedua-dua pemimpin itu memasuki dewan berkenaan yang seterusnya meluangkan masa bersama berkongsi pandangan, sesuatu yang jarang dilihat masyarakat pelbagai lapisan yang datang berkunjung ke majlis itu.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Chieng Jen yang juga Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, pihaknya amat senang hati menerima kunjungan Ketua Menteri yang sudi meluangkan masa dan memeriahkan rumah terbukanya.

“Semua tetamu yang hadir juga sangat gembira melihat kedatangan Abang Jo dan saya berharap tahun baru ini akan membawa tuah kepada Sarawak supaya lebih maju,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari serta isteri memeriahkan rumah terbuka Tahun Baru Cina Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Dewan Sa’ati, Jalan Tan Sri Ong Kee Hui. - Bernama

Artikel Berkaitan: