Malaysia umum pengatur bon samurai minggu depan

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan mengumumkan nama pengatur bagi bon Samurai bernilai 200 bilion yen (AS$1.9 bilion) minggu depan.

Mengulas mengenai laporan Bloomberg bahawa Malaysia telah memilih bank untuk penjualan bon Samurai pertama negara itu, Lim berkata: “Tidak perlu spesifik. Anda akan tahu perkara sebenar minggu depan. Kami akan membuat keputusan muktamad dan pengumuman pada minggu depan.

“Kami akan menjemput duta Jepun untuk hadir semasa kami membuat pengumuman itu."

Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa Malaysia telah memilih pengatur bagi terbitan bon itu, yang termasuk HSBC Holdings Plc, Mizuho Financial Group Inc dan Nomura Holdings Inc.

Pada pengumuman Belanjawan 2019 pada 2 November, Lim berkata kerajaan Jepun menawarkan jaminan 200 bilion yen, atau RM7.4 bilion, nilai terbitan bon Samurai, dengan tempoh 10 tahun melalui Japan Bank of International Cooperation pada kadar kupon indikatif 0.65 peratus, yang dijangka diterbitkan sebelum Mac 2019.

Malaysia menyuarakan hasrat untuk mendapatkan pinjaman yen itu pada pertemuan pertama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Shinzo Abe, pada Jun 2018, untuk membantu menyelesaikan hutang Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: