X

Kindly register in order to view this article
!

Koronavirus: Penggiat industri pelancongan telah diberi taklimat

Liow Cai Tung
A
A

JOHOR BAHRU - Penggiat industri pelancongan di negeri ini telah diberi taklimat berhubung wabak koronavirus, kata Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung.

Beliau berkata, taklimat dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) itu antaranya memberikan panduan kepada penggiat industri pelancongan dalam mengendalikan pelancong khususnya dari China.

"Pada masa sama, saya menasihati orang ramai dan pemandu pelancong supaya berjaga-jaga dalam menghadapi situasi ini seperti memakai penutup mulut dan hidung," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di Tokong Fo Guang Shan Hsing Ma di sini hari ini.

Cai Tung dalam pada itu menegaskan adalah terlalu awal untuk mengatakan wabak itu akan menjejaskan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Johor 2020.

"Sama ada turun atau tidak (kehadiran pelancong), saya anggap, kita kena lihat berapa lama virus ini berlarutan namun dari pihak kerajaan negeri, kita sentiasa memantau perkembangan supaya kita dimaklumkan status terkini," katanya dengan menambah 12 pintu masuk negeri ini sudah diletakkan mesin pengimbas suhu badan bagi memantau kemasukan pelancong.

Hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, tiga warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura pada Khamis, disahkan positif koronavirus.

Mereka adalah ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya yang berasal dari Wuhan, China, yang direkodkan sebagai dua kes pertama positif virus itu di Singapura.

Dr Dzulkefly berkata, ketiga-tiga mereka adalah seorang wanita berusia 65 tahun, iaitu isteri kepada pesakit berusia 66 tahun di Singapura, dan dua cucu lelakinya berusia dua dan 11 tahun.

Mereka kini ditempatkan di Hospital Sungai Buloh, Selangor. - Bernama