Influenza: Elak kunjungi tempat awam

Dr Azril Haris Yafee Amar
Dr Azril Haris Yafee Amar
A
A
A

VAKSIN influenza bukan memberi perlindungan 100 peratus kepada manusia sebaliknya memberi perlindungan antara 50 hingga 60 peratus sahaja.

Bagaimanapun, bagi golongan berisiko yang menghidap masalah berkaitan paru-paru dan pernafasan, vaksin adalah satu keperluan bagi mengelakkan komplikasi serius sekiranya dijangkiti influenza.

Ikuti wawancara Wartawan Sinar Harian, Siti Zubaidah Zakaraya bersama Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi Hospital Pantai Sungai Petani, Dr Azril Haris Yafee Amar.

Apakah influenza dan jenis-jenisnya?

Dr Azril Haris: Influenza ialah penyakit yang disebabkan sejenis virus. Secara kebiasaan yang terdapat di Malaysia ialah influenza A dan B. Virus influenza A dan C pula berasal daripada babi dan mempunyai kaitan dengan industri penternakan babi.

Beberapa ketika dahulu (sekitar tahun 1990-an) virus itu bermutasi kandungan genetiknya menyebabkan ia boleh berjangkit daripada manusia kepada manusia berbanding pada asalnya berjangkit daripada babi kepada manusia.

Influenza A secara amnya terbahagi kepada dua iaitu H1N1 yang berjangkit daripada najis, cecair atau air liur babi (swine flu) atau H5N1 yang berjangkit daripada najis, cecair atau air liur burung (bird flu) termasuk burung migrasi atau haiwan inveterbrata seperti monyet.

Kebiasaannya, yang kerap dijangkiti di Malaysia ialah influenza A subtype H1N1 berbanding influenza C kerana jarang bermutasi dan ia lambat beradaptasi dengan persekitaran.

Artikel Berkaitan:

Bayi, kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah berkaitan paru-paru merupakan orang berisiko tinggi dijangkiti influenza.
Bayi, kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah berkaitan paru-paru merupakan orang berisiko tinggi dijangkiti influenza.

Apakah simptom influenza?

Dr Azril Haris: Simptomnya tidak begitu spesifik iaitu demam panas antara 38 hingga 40 darjah Celsius secara berpanjangan, sakit seluruh badan, sakit kepala dan sakit bahagian sendi, batuk, selesema, berhingus, sakit bahagian tekak serta ruam di badan. Gejala luar daripada simptom pernafasan antaranya termasuk muntah, sakit perut dan cirit-birit.

Cara pencegahan selain vaksin?Dr Azril Haris: Vaksin influenza sebenarnya tidak wajib, namun dengan adanya vaksin ia boleh memberi perlindungan antara 50 hingga 60 peratus di mana jangka masa perlindungan antara lebih kurang enam bulan hingga setahun selepas diberi vaksin.

Sekiranya vaksin tiada, setiap individu harus mengamalkan amalan kebersihan dan kesihatan yang baik iaitu mengelak daripada mengunjungi tempat awam, pakai penutup hidung dan mulut, sentiasa cuci tangan dengan sabun dan antiseptik, menjarakkan diri daripada individu yang disahkan influenza dan banyak minum air iaitu antara 1.5 hingga 2 liter sehari.

Pesakit influenza boleh mengurangkan jangkitan kepada individu lain dengan memakai penutup mulut dan tisu pakai buang ketika batuk atau bersin.

Bagi pesakit yang telah disahkan influenza pula, kita letakkan di wad isolasi.

Apakah perbezaan antara influenza dan demam selesema biasa?

Dr Azril Haris: Gejala demam selesema biasa lebih kurang sama dengan influenza iaitu demam kuat dan sakit badan, namun jangka masa demam mungkin kurang daripada influenza.

Untuk memastikan sama ada pesakit dijangkiti influenza atau demam selesema biasa, kita mesti buat ujian saringan memandangkan perbezaan antara demam selesema biasa dan influenza agak sukar untuk dibezakan.

Bagaimana influenza merebak?

Dr Azril Haris: Virus influenza boleh berjangkit daripada manusia kepada manusia melalui titisan cecair bersin, batuk, makanan ataupun sentuhan. ‘

Sebenarnya ia berlaku sepanjang tahun tetapi pada musim panas, titisan cecair boleh mengering dengan cepat dan berterbangan di udara sehingga boleh menjangkiti individu yang lemah sistem imun badan.

Virus itu mempunyai tempoh inkubasi sebelum demam terjadi antara lima hingga tujuh hari.

Dalam tempoh itu, pesakit tidak akan menjangkiti orang lain. Selepas itu barulah gejala influenza keluar termasuk demam, sakit kepala, sakit tekak, sakit sendi dan sakit badan.

Dalam tempoh tujuh hari kedua, virus semakin aktif dan boleh menjangkiti orang lain. Ketika itu, langkah berjaga-jaga perlu kerana individu paling hampir berisiko dijangkiti termasuk ibu bapa dan adik-beradik.

Gejala influenza yang berlaku antara kanak-kanak dan orang dewasa hampir sama iaitu demam, batuk, sakit badan, sakit tekak dan lain-lain.

Bagaimana untuk mencegah jangkitan influenza?

Dr Azril Haris: Sekiranya anak-anak yang belum dijangkiti, ibu bapa boleh mencegah melalui pemberian vaksin di mana vaksin hanya aktif selepas dua minggu selepas disuntik.

Biarpun telah diberikan vaksin, langkah pencegahan tambahan perlu diambil kerana vaksin hanya melindungi antara 50 hingga 60 peratus.

Bagi yang sudah dijangkiti, pesakit perlu dikuarantin di hospital. Rawatan simptomatik diberikan dan sekiranya demam, kita berikan ubat untuk turunkan suhu.

Pesakit yang tidak boleh minum air yang banyak diberikan iv drip iaitu memasukkan air dalam badan dan ubat-ubatan untuk cairkan kahak dan pemberian antivirus diberi berdasarkan keperluan badan pesakit.

Siapakah yang berisiko dijangkiti?

Dr Azril Haris: Orang yang berisiko tinggi boleh mendapat komplikasi bukan hanya mendapat demam dan batuk tetapi berisiko kepada pneumonia iaitu jangkitan kepada paru-paru.

Orang berisiko tinggi ialah bayi, kanak-kanak, warga emas, individu yang mempunyai masalah paru-paru seperti pesakit asma, pesakit kronik sistem pernafasan (COPD) dan parut pada paru-paru. Golongan itu memerlukan vaksin dan antivirus.

Antara komplikasi influenza ialah sawan atau kegagalan sistem respiratori sehingga perlu diberi rawatan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sempena Tahun Baru Cina, nasihat doktor kepada ibu bapa?

Dr Azril Haris: Sempena cuti sekolah ini, nasihat saya lebih baik luangkan masa bersama keluarga. Sekiranya ingin pulang ke kampung, teruskan sahaja perjalanan ke destinasi tanpa perlu singgah ke lokasi yang tidak perlu.

Sebaik sahaja anda keluar ke kawasan terbuka, sila pakai topeng hidung dan mulut serta basuh tangan sebelum masuk dan keluar tandas.

Elakkan ke tempat awam termasuk pasar raya, pusat rekreasi dan lokasi perkelahan kerana ia bukan berisiko kepada influenza semata-mata, malah risiko dijangkiti virus lain.