Australia pilih Malaysia sebagai negara tumpuan 2020

Australia - Foto 123rf
Australia - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Australia memilih Malaysia sebagai 'negara tumpuan' untuk 2020 sebagai sebahagian sambutan ulang tahun hubungan diplomatik di negara ini, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski.

Beliau berkata, setiap tahun Australia memilih sebuah negara untuk 'memberi lebih perhatian dan tumpuan terhadap hubungan diplomatik dan hal ehwal awam' dan tahun ini Malaysia terpilih.

“Program itu dikenali sebagai 'Australia Kini' dan dalam beberapa minggu dan bulan akan datang, anda akan mendengar lebih banyak mengenai program ini; akan tetapi kami amat teruja," katanya ketika berucap pada majlis Australia Day 2020 anjuran Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia pada Rabu.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian menjadi tetamu kehormat majlis berkenaan dan turut dihadiri diplomat asing serta warga Australia yang tinggal di Malaysia.

"Jadi dari Australia ke Malaysia, kami amat berbesar hari terhadap segala apa yang sudah diperkatakan, dilaksanakan dan apa jua ditawarkan Malaysia.

"Bagaimanapun jika saya mempunyai satu perutusan dari Australia, ia adalah; Australia terbuka untuk perniagaan, dan kami menanti kunjungan semula warga Malaysia secepat mungkin.

"Terus hantar anak-anak anda ke sekolah Australia, terus melabur di Australia, terus berdagang dengan Australia dan kunjungi negara kami sekerap mungkin," katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Mengulas pencapaian 2019, Goledzinowski berkata tahun lalu adalah tahun yang amat luar biasa dalam aspek hubungan Canberra-Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

“Menurut perkiraan kami, kita bekerjasama dalam lebih banyak projek, meliputi lebih banyak isu dan di peringkat yang lebih tinggi berbanding apa yang kami peroleh sebelum ini dengan Malaysia.

"Dan berita yang lebih baik adalah 2020 akan menjadi tahun yang lebih hebat. Ini adalah tahun APEC untuk Malaysia yang bermakna bukan sekadar sidang kemuncak, tetapi juga pelbagai rundingan peringkat kementerian di sepanjang tahun.

"Ini adalah tahun Melawat Malaysia 2020 dan seperti apa yang saya ungkapkan sebelum ini, impian saya adalah melihat jumlah rakyat Australia melawat Malaysia meningkat daripada 400,000 kepada setengah juta orang," katanya.

Goledzinowski berkata meskipun Australia memulakan 2020 dengan tidak begitu baik ekoran banjir di Brisbane dan kebanyakan kawasan Queensland serta ribut pasir di New South Wales dan kebakaran hutan, namun beliau tersentuh dengan ucapan simpati, galakan serta bantuan praktikal oleh rakyat Malaysia sepanjang krisis kebakaran hutan itu.

"Malah, ada di kalangan yang hadir malam ini adalah mereka yang datang daripada beberapa agensi di Malaysia yang kini sedang bekerjasama dengan rakan sejawat mereka dari Australia untuk meneroka bentuk bantuan yang boleh disalurkan dan bagaimana memanfaatkannya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Australia sudah pun mengumumkan pelan pemulihan berjumlah AU$2 bilion (USD$1.37 bilion) (RM5.57 bilion) yang sedang dilaksanakan.

“Satu perkara yang anda belajar ketika menghadapi krisis iaitu betapa kentalnya anda. Dan kelihatan kami warga Australia begitu kental.

"Komuniti berganding bahu dengan cara yang amat menakjubkan, dan ia amat hebat,” katanya. - Bernama