X

Kindly register in order to view this article
!

Watak sebenar Wolf of Wall Street saman Red Granite

Jordan Belfort
A
A

LOS ANGELES - Watak sebenar dalam filem Wolf of Wall Street, Jordan Belfort menyaman syarikat milik Riza Aziz, Red Granite sebanyak AS$300 juta (RM1.21 bilion) kerana penipuan dan melanggar kontrak.

Belfort berkata, beliau memfailkan saman terhadap Red Granite kelmarin kerana tidak mengetahui dana syarikat produksi itu menggunakan wang yang didakwa diseleweng dalam skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memetik laporan Hollywood Reporter, Belfort menegaskan beliau tidak akan menjual hak memoirnya kepada syarikat produksi milik anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu jika mengetahui mengenai skandal tersebut.

Selain memoir Wolf of Wall Street, Belfort turut menjual memoirnya bertajuk Catching the Wolf of Wall Street kepada Red Granite, bagaimanapun akibat skandal 1MDB syarikat tersebut gagal mendapat keuntungan sepatutnya daripada pemilikan hak memoir itu.

Riza Aziz
Riza Aziz

“Belfort mengalami kerugian disebabkan Red Granite yang mencemari hak buku atau ceritanya.

“Situasi itu lebih buruk apabila ketidakmampuan Red Granite memaksimumkan hak yang diperoleh daripada Belfort seperti yang dijanjikan.

“Ia adalah kerana skandal 1MDB dan tuduhan penglibatan langsung mereka,” kata peguam Belfort, Bryan Freedman menerusi aduan tersebut.

Pada Julai 2019, Riza Aziz dikenakan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.2 bilion), yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Pada tahun 1999, Belfort mengaku bersalah atas jenayah menipu dan terlibat dengan manipulasi pasaran saham. Pada tahun 2003, dia dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda AS$110 juta (RM446.7 juta).