Watak satira silam pada zaman moden

A
A
A

SETIAUSAHA Agung Pas, Takiyuddin Hassan menganggap kenyataan pemimpin PKR dan Amanah mengenai parti itu akhir-akhir ini umpama 'anjing yang takutkan bayang-bayang'.

Maka partinya mengambil sikap untuk membiarkan Pakatan Harapan (PH) - yang turut dianggotai PKR serta Amanah - 'terjun dengan labu-labunya'.

Bidalan digunakan Takiyuddin itu merujuk kepada dua kisah dongeng rakyat yang popular, Anjing Dengan Bayang-Bayang serta Si Luncai.

Oleh itu, kenyataan penuh bimbang pimpinan PKR dan juga Amanah terhadap Pas akhir-akhir ini adalah ibarat anjing takut bayang-bayang. Bagi Pas, biarkan PH terjun dengan labu-labunya.

Kisah satira Melayu silam kini betul-betul berulang dalam sejarah Melayu moden.

TIDAK sahaja kisah Si Luncai dan Anjing Dengan Bayang-Bayang yang popular itu, semakin jelas sekarang karektor dalam kerajaan sekarang seperti mengulangi kisah tauladan silam.

Antaranya ada watak Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang, Musang Berjanggut dan sebagainya.

Maka watak-watak yang muncul semula pada zaman moden ini tidak patut dibiarkan sebab boleh meruntuhkan negara.

Artikel Berkaitan:

Sebelum terlambat watak seperti itu patut ditiadakan. Negara ini mesti dibina oleh watak yang lebih baik.

MASUK tahun kedua kerajaan PH, macam-macam andaian umum dibuat, menyatakan rasa tidak puas hati dengan janji kerajaan.

Maka dalam keluh-kesah dan susah itu ada yang beranggapan kerajaan sekarang hanyalah ‘kerajaan sepenggal’.

Ada yang kata mungkin tidak sampai sepenggal. Tetapi PH mempertahankan kerajaan ini bukan kerajaan sementara.

Sebelum ini timbul desas-desus ‘kerajaan pintu belakang’, itu pun disanggah oleh PH.

Tidak kira kerajaan sepenggal, kerajaan pintu belakang, kerajaan pintu depan, bagi seluruh rakyat apa yang diperlukan ialah sebuah kerajaan yang stabil.

Tetapi bagaimana hendak stabil sekiranya dalam tempoh 20 bulan ini dalam kalangan komponen PH sendiri tidak padu, saling bercakaran.

DUA kumpulan kepentingan kesihatan mengecam sokongan Putrajaya untuk membina kawasan khas merokok di kawasan yang dilarang merokok.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial serta Badan Bertindak Wanita bagi Kawalan Tembakau dan Kesihatan Malaysia (MyWATCH) berkata, langkah menyediakan peruntukan bagi pembinaan zon merokok adalah regresif dan bercanggah.

Mereka mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang berkata, pihak berkuasa tempatan akan menyediakan kawasan khas merokok di tempat awam dan pemilik kedai makan boleh memohon peruntukan daripada kementeriannya.

Kelakar, setahun telah berlalu sejak kita menetapkan tempat makan dan restoran sebagai kawasan larangan merokok. Penguatkuasaan ditangguhkan setahun untuk memberi peluang kepada perokok.

Tiba-tiba apabila hendak dilaksanakan sepenuhnya 1 Januari baru-baru ini, kerajaan hendak menyediakan pula kawasan khas untuk perokok. Nampaknya kerajaan sayang sangat kepada perokok.

MENTERI Besar Kelantan mendapat kenderaan rasmi baru, Mercedes-Benz yang berharga RM600,000. Exco juga dikatakan mendapat kereta baru.

Di peringkat pusat, ura-ura untuk menggantikan kereta rasmi jemaah menteri terbantut. Tidak jadi tukar Toyota Vellfire, Tok Menteri kita pakai kenderaan lama, Proton Perdana.

Berjimatlah, sebab negara tidak ada duit!

AKHIR kalam, kepada rakan-rakan Cina, saya ucapkan Selamat Tahun Tikus. Dengar cerita perayaan tahun baru kali ini paling muram.

Jangankan hendak membeli kelengkapan raya di pusat-pusat beli-belah tersohor, hendak membeli keperluan makanan pun tidak semeriah dulu-dulu.

Hatta limau mandarin pun bertimbun tidak dibeli. Zaman susah, duit tidak ada, semuanya perlu berjimat dan berhemah. Gong Xi Fa Cai.

TOK PERAK