Kebakaran hutan: Malaysia tunggu jawapan Australia

Dr Wan Azizah ketika membincangkan pelbagai isu di pejabatnya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini. - Foto Bernama
Dr Wan Azizah ketika membincangkan pelbagai isu di pejabatnya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Australia belum memberi keputusan berhubung tawaran Malaysia untuk menghulurkan bantuan dalam menangani krisis kebakaran hutan belantara yang terburuk di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bagaimanapun berkata Malaysia berkemungkinan tidak perlu menghantar bantuan tersebut berikutan situasi terbaharu di Australia pada masa ini.

"Sekarang ini lebih kepada banjir, ribut dan sebagainya...kebakaran dah semakin kurang pada satu tempat sahaja.

"Jadi kemungkinan tidak perlu kita hantar Bombardier kita," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, hari ini.

Malaysia sebelum ini sedia menawarkan sebuah pesawat pemadam kebakaran jenis Bombardier CL-415, sebuah aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selain 65 anggota penyelamat ke Australia.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan hujan lebat mula membasahi beberapa kawasan di Australia termasuk kawasan yang terkesan kebakaran hutan seperti New South Wales dan Queensland, yang turut menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan.

Kebakaran hutan sejak September tahun lepas itu telah menyebabkan 30 kematian serta anggaran satu bilion haiwan selain kira-kira 2,500 rumah musnah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut pesawat pemadam kebakaran terhempas di Australia

Artikel Berkaitan:

Dr Wan Azizah yang juga menteri bertanggungjawab kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, pesawat pemadam kebakaran berkenaan juga dalam keadaan siap siaga bagi sebarang misi berikutan musim kemarau khususnya di utara semenanjung Malaysia pada ketika ini.

"Jadi kemungkinan Bombardier kita perlukan untuk siap siaga di negara kita sendiri," katanya. - Bernama