Peningkatan kedudukan Malaysia dalam CPI bukti kejayaan PH

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) untuk tahun 2019 yang diumumkan semalam merupakan satu kejayaan bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam membanteras rasuah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, kejayaan itu sekaligus menunjukkan bagaimana kerajaan PH telah meletakkan keutamaan penting terhadap janji membasmi rasuah sejak menerajui kerajaan pada Mei 2018.

“Saya rasa ini adalah satu kejayaan dalam aspek membanteras rasuah secara habis-habisan dan juga untuk mewujudkan satu sistem kerajaan berintegriti.

“Kita semua tahu bahawa kerajaan PH telah menitikberatkan perkara ini sejak dari awal lagi, jadi apa yang dilaporkan semalam adalah satu berita baik dan ia menunjukkan bahawa kita ini telah pun mengambil tindakan yang betul dan kita berjaya mengurangkan kadar rasuah dan berjaya meningkatkan kadar integriti di peringkat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penerangan Zon Selatan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di Bilik Gerakan, Jabatan Penerangan Negeri Johor di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor Dzulkefly Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKMM Shakib Ahmad Shakir; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Roselindawati Abdul Rahman; Ketua Pengarah Penyiaran Nor Yahati Awang; Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Johor Sabarudin Yeop Hamza dan Ketua Biro Bernama Johor Nor Baizura Basri.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Biro Bernama Melaka Fadzli Ramli, Ketua Biro Bernama Negeri Sembilan Mohd Hisham Abdul Rafar, selain Pengarah-Pengarah Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan dan Melaka.

Gobind berkata demikian ketika mengulas kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan yang berjaya melonjak ke kedudukan 51 daripada 180 negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, usaha berterusan akan diteruskan pihak kerajaan dalam meningkatkan kesedaran memerangi rasuah dalam kalangan masyarakat di negara ini untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang akan lebih dihormati.

“Kita telah mulakan dengan aspek penerangan mengenai rasuah, bagaimana kita perlu perang habis-habisan rasuah dan dapat dilihat bagaimana banyak pendakwaan telah dilakukan terhadap penama–penama tertentu khususnya yang kita lihat ada unsur rasuah dan salah guna kuasa telah pun dihadapkan ke mahkamah dan proses perbicaraan pun telah (dan) sedang dijalankan.

“Kita hendak wujudkan satu sistem di mana negara yang bebas dari rasuah. Kalau kerajaan memberikan perhatian khusus terhadap perkara ini, rasanya kita dapat melihat hasil daripada agenda tersebut dan pengumuman semalam adalah sebagai satu kejayaan di mana Malaysia dilihat sebagai negara lebih baik sekarang,” katanya.

Mengulas mengenai pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd bermula 1 Feb ini, beliau berkata pengumuman berkenaan selari dengan janji PH dalam manifestonya.

“Saya rasa itu sebagai satu langkah yang baik (dan) boleh membawa kadar penjimatan besar terhadap rakyat sekaligus membawa manfaat kepada rakyat di negara ini khususnya pengguna lebuh raya.

“Ini satu kejayaan kepada kerajaan dan ia konsisten dengan manifesto PH yang kita sebut kita akan mengkaji semula semua konsesi lebuh raya dan sejauh mana kita boleh kurangkan harga tol, jadi ia selari dengan apa yang kita sebut dalam manifesto kita,” katanya.

Pada 16 Januari lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak akan menjual PLUS Malaysia tetapi telah memutuskan untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus. - Bernama