Bukti usaha antirasuah berkesan: Liew Vui Keong

601997
601997
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan Malaysia dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) pada 2019 menunjukkan keberkesanan pelbagai usaha antirasuah dan inisiatif pembaharuan institusi oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, inisiatif berkenaan termasuk pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang menggariskan 22 strategi dengan 115 inisiatif antirasuah untuk menentang rasuah dalam semua sektor di seluruh negara.

Beliau berkata, inisiatif pembaharuan institusi utama yang lain turut diperkenalkan seperti perisytiharan harta oleh semua menteri, ahli Parlimen dan perdana menteri, memperkenalkan undang-undang untuk mengehadkan tempoh Perdana Menteri dalam jawatan dan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Bagaimanapun, ini adalah permulaan kepada perjalanan yang panjang dengan banyak lagi pembaharuan institusi akan dibentangkan pada tahun 2020. Ini termasuk pengukuhan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Parlimen dengan memperkenalkan semula Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen.

“Kami juga ingin menggantikan Akta Rahsia Rasmi 1972 dengan Akta Kebebasan Maklumat yang baharu dan mengukuhkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk mendapatkan lebih kekebalan dan ruang untuk pemberi maklumat mendedahkan informasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Malaysia telah melonjak 10 anak tangga ke kedudukan 51 daripada 180 negara dalam CPI TI untuk 2019 menunjukkan peningkatan dalam menangani rasuah.

Skor Malaysia juga meningkat kepada 53 daripada 100 mata dalam tinjauan CPI, peningkatan daripada 47 mata yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Skor dan kedudukan CPI itu adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara pada skala daripada sifar (dianggap tinggi rasuah) ke 100 (paling bersih). - Bernama

Artikel Berkaitan: