X

Kindly register in order to view this article
!

RM50,000 bukan wang peribadi exco: Mohd Amar

Mohd Amar menyantuni masyarakat Cina di Pulau Lohong, di sini hari ini.
A
A

KOTA BHARU - Pemberian peruntukan khas RM50,000 kepada setiap exco Kerajaan Negeri Kelantan adalah wang bantuan sementara untuk kegunaan exco menyantuni rakyat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan, wang tersebut diberikan bukan atas urusan peribadi sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

"Sepatutnya kerajaan beri RM200,000 kepada setiap exco untuk menguruskan rakyat setiap tahun yang dipanggil 'pull'. Biasanya bila tiba bulan Oktober, peruntukan tersebut akan habis sepenuhnya. Tidak sampai setahun. Jadi kita berbaki beberapa bulan untuk menunggu bajet seterusnya.

"Kita buat mesyuarat untuk bincang mengenai hal ini dan setuju RM50,000 diberikan sebagai wang pendahuluan sementara kepada exco-exco supaya mereka tidak putus membantu rakyat. Perkara ini bukan isu kerana ada juga negeri lain yang beri lebih dari RM200,000 seorang. Exco kita, kalau peruntukan tak cukup, mereka guna duit sendiri,"katanya kepada media selepas program menyantuni masyarakat kaum Cina di Kampung Pulau Lohong, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mempersoalkan kewajaran Kerajaan Kelantan menyalurkan duit tersebut kepada setiap exco negeri tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, wang tersebut memang sudah ada dalam Bajet iaitu Perbelanjaan Luar Jangka daripada Wang Yang Disatukan.

"Oleh sebab itu kita masukkan ke akaun peribadi sebab ia bukan duit projek atau untuk jalankan apa-apa program. Tapi duit untuk exco berikan kepada rakyat yang memerlukan bantuan di seluruh negeri.

"Duit ini tidak ada kena mengena dengan peruntukan RM400 juta itu. Kita tidak usik apa pun. Kita ada 'surplus'. Banyak kali saya katakan, tapi masih ada yang sengaja cari isu,"katanya.