Insiden Ford Ranger: 'Syukur ALLAH panjangkan usia adik'

Muhammad Anas mengalami patah tulang pinggul dan tulang paha kanan selepas terbabit dalam kemalangan selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger di Jalan Kebun, semalam.
Muhammad Anas mengalami patah tulang pinggul dan tulang paha kanan selepas terbabit dalam kemalangan selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger di Jalan Kebun, semalam.
A
A
A

KLANG - "Kami sekeluarga bersyukur kerana ALLAH masih panjangkan nyawa adik."

Demikian kata Latifah Mokti, 49 iaitu kakak kepada seorang mangsa yang cedera akibat dirempuh sebuah Ford Ranger dalam kejadian di Jalan Kebun, semalam.

Latifah berkata, seisi keluarganya bersyukur kerana Muhammad Anas Mokti, 27, masih memiliki umur yang panjang apabila terselamat dalam kejadian itu meskipun mengalami kecederaan patah tulang pinggul serta tulang paha kanan.

Bagaimanapun rakan baik adiknya itu, Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, terbunuh dalam kejadian tersebut.

Menurut Latifah, Muhammad Anas ialah anak bongsu daripada enam adik beradik dan tahu adiknya itu ditimpa kemalangan kira-kira jam 8 pagi ketika berada di rumahnya di Kampung Parit Serong, Tanjong Karang.

"Saya terkejut bila dapat tahu adik dan rakannya terlibat kemalangan lalu bergegas ke hospital," katanya.

Tambah Latifah, kejadian dipercayai berlaku ketika semua mangsa dalam perjalanan pulang bekerja di sebuah kilang dan adiknya memang sudah lima tahun bekerja di kilang berkenaan.

"Mereka bertiga yang tinggal menyewa di Klang memang kawan baik dan sering bersama ke tempat kerja," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pandang serius kes pemandu mabuk

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar menziarahi Muhammad Anas di Wad Orkid 6B, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas dua motosikal dirempuh pacuan empat roda Ford Ranger, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, penunggang motosikal Nuovo LC, Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Anas dan penunggang motosikal EX5, Muhammad Hazid Mohd Kamil, 27 parah dan masing-masing dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Pemandu Ford Ranger berusia 37 tahun pula tidak mengalami kecederaan.