Felcra pinjam RM150j untuk pelaburan

Bung Moktar dan Zizie Ezette hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah hari ini.
Bung Moktar dan Zizie Ezette hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini semalam bahawa Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) membuat permohonan dengan Kementerian Kewangan untuk melaburkan dana sebanyak RM150 juta dari Tabung Persaraan Kakitangan untuk pelaburan di Unit Amanah Public Mutual.

Bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra, Adnan Yusof, 61, berkata, berdasarkan memorandum yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, Felcra telah membuat permohonan untuk menggunakan dana daripada tabung persaraan itu bagi tujuan pelaburan.

Ketika pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Nor, saksi itu berkata, Kementerian Kewangan mempunyai kuasa mutlak yang bermaksud, tiada pihak lain yang boleh mengganggu keputusan tersebut.

Roslan: Apa maksud butiran tiga dalam pelaburan kepada Kementerian Kewangan. Apa Felcra buat mengenai laporan itu?

Adnan: Berdasarkan laporan, Felcra buat permohonan untuk menggunakan dana dari Tabung Persaraan Kakitangan sebanyak RM150 juta untuk melabur dalam unit Amanah Public Mutual.

Roslan: Ada tak catatan menunjukkan berlaku penglibatan ahli lembaga pengarah dalam permohonan pelaburan RM150 juta itu?

Adnan: Tidak dinyatakan Yang Arif.

Saksi kedua pendakwaan itu juga berkata tidak, selepas ditanya mengenai sama ada wujud perkataan pelaburan RM150 juta dalam minit mesyuarat bilangan 151 antara muka surat 1 hingga 31.

Artikel Berkaitan:

Pada 3 Mei tahun lepas, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 61, dan isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A Samad, 42, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan Felcra empat tahun lalu.

Perbuatan itu didakwa bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu pengerusi bukan eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob ditangguhkan pada 29 Januari depan.