X

Kindly register in order to view this article
!

Shell batal caj tambahan TnG

PERKHIDMATAN pembatalan caj TnG boleh didapati di 27 buah stesen minyak sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan.
A
A

DEMI mengurangkan beban pengguna, Shell Malaysia baru-baru ini mengumumkan pembatalan caj tambahan sebanyak 50 sen yang dikenakan untuk setiap perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘N Go (TnG).

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading, Shairan Huzani Husain berkata, perkhidmatan pembatalan cas tersebut terdapat di 27 buah stesen minyak sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan bermula 16 Januari lalu.

“Shell memahami cabaran yang perlu dihadapi oleh pengguna yang mana mereka terpaksa berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Keadaan ini membuatkan Shell ingin membantu. Dengan membatalkan caj tambah nilai kad Touch ’N Go sebagai permulaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban pelanggan ketika mengisi minyak atau mengharung perjalanan jauh,” ujarnya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Menurutnya, Shell Malaysia sentiasa mencari jalan untuk memberi ganjaran kepada para pelanggannya.

Shell turut memaklumkan, kempen 'Nak Ekstra RM20,000' kini berlangsung sejak 1 Disember 2019 hingga 9 Februari ini. Menerusi kempen tersebut, Shell menawarkan rakyat Malaysia hadiah utama mingguan bernilai RM20,000 dan 20 hadiah sagu hati bernilai RM1,000 setiap minggu.

Setiap kali berbelanja sebanyak RM40 bagi bahan api, minyak pelincir dan juga produk Shell Select melayakkan pelanggan untuk menyertainya.

Selain daripada inisiatif Shell, pengguna juga boleh menikmati kadar yuran sifar bagi tambah nilai TnG daripada beberapa pengendali di banyak lokasi terpilih di seluruh negara, yang boleh diakses menerusi aplikasi navigasi Waze.