Tangki treler muatan bahan kimia terbalik

Keadaan treler membawa tangki bahan kimia yang terbalik akibat struktur tanah tidak stabil dan tidak mampu menampung berat beban.
Keadaan treler membawa tangki bahan kimia yang terbalik akibat struktur tanah tidak stabil dan tidak mampu menampung berat beban.
A
A
A

PEKAN - Sebuah tangki treler muatan bahan kimia yang diletakkan di belakang bangunan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pekan di Jalan Tengku Besar Sulaiman di sini terbalik malam tadi.

Difahamkan tangki muatan bahan kimia asid hidroklorik seberat 18 tan itu dipisahkan daripada kepala treler dan ditinggalkan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Yusof berkata, kejadian berpunca daripada permukaan jalan tidak stabil dan berlaku mendapan sehingga gagal menampung berat beban muatan tangki berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu turut menyebabkan sebahagian struktur bangunan APM Pekan mengalami kerosakan.

"Difahamkan muatan bahan kimia itu dibawa dari Pelabuhan Pasir Gudang, Johor ke Pelabuhan Kuantan, namun dipisahkan dari kepala lori dan ditinggalkan pemandu di lokasi di belakang kawasan bangunan APM Pekan itu.

"Dalam kejadian itu, tiada tumpahan bahan kimia berlaku dan tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Wan Samsul Affendi Wan Mahmud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 10.02 malam sebelum 10 anggota termasuk dua pegawai bersama dua jentera ke lokasi.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi pihaknya mendapati lori tangki seberat 18 tan membawa muatan bahan kimia terbalik dan menyebabkan sebahagian struktur bangunan APM rosak.

Artikel Berkaitan:

"Anggota segera melakukan pemeriksaan bagi mengesan kebocoran serta membuat pengosongan lokasi pada jarak 30 meter.

"Kerja-kerja menstabilkan dan mengangkat tangki berkenaan menggunakan bantuan kren sebelum operasi ditamatkan," katanya.