Digelar pencuri: Rakyat tahu menilai, kata Najib

Najib (kanan) ketika berucap pada program santai Bossku bersama masyarakat Parlimen Pokok Sena di Restoran Gemilang Kitchen, Hutan Kampung, hari ini.
Najib (kanan) ketika berucap pada program santai Bossku bersama masyarakat Parlimen Pokok Sena di Restoran Gemilang Kitchen, Hutan Kampung, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhak mengeluarkan pendapatnya untuk mengkritik kepimpinan Barisan Nasional (BN) termasuk menggelar mereka ‘pencuri’, namun keputusan muktamad memilih pemimpin untuk mengetuai negara tetap menjadi kuasa rakyat.

Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perlu diingatkan bahawa pendapat rakyat adalah lebih penting berbanding pendapat Dr Mahathir kerana rakyat yang akan menentukan masa depan negara sama ada ditadbir BN atau Pakatan Harapan (PH) pada masa depan.

Tegas bekas perdana menteri itu, rakyat akan membuat keputusan berdasarkan penilaian sendiri, bukannya terpengaruh dengan kata-kata pemimpin.

“Dalam media sosial banyak ulasan rakyat, saya tak perlu ulas. Kuasa muktamad adalah pada rakyat. Apa yang Dr Mahathir cakap itu pendapat beliau. Apa yang penting adalah pendapat rakyat yang semakin sedar dan mereka beroleh maklumat tepat untuk membuat kesimpulan sendiri,” katanya pada sidang media selepas program santai Bossku bersama masyarakat Parlimen Pokok Sena di Restoran Gemilang Kitchen, Hutan Kampung, hari ini.

Najib mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menzahirkan rasa pelik serta tidak faham dengan sikap sesetengah pihak yang masih menyatakan sokongan kepada individu yang didakwanya 'mencuri' wang rakyat dan menghadapi pendakwaan di mahkamah.

Dr Mahathir juga berkata, PH tidak akan kembali untuk membantu membersihkan pentadbiran kerajaan sekiranya rakyat kembali menyokong BN.

Mengulas lanjut, Najib berkata, rakyat kini dilihat semakin sedar mengenai penipuan yang dilakukan kerajaan PH dan yakin rakyat akan membuat keputusan terbaik pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang demi masa depan negara.

“Saya yakin rakyat buat keputusan tepat dan bijak dalam memilih bukan bergantung kepada apa yang pemimpin cakap,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Pelik ada rakyat terpengaruh, cium tangan pencuri: Tun M

Artikel Berkaitan: