Gesa masyarakat antarabangsa beri tekanan ke atas Myanmar

Etnik minoriti Rohingya -Foto 123rf
Etnik minoriti Rohingya -Foto 123rf
A
A
A

ANKARA - Sebuah kumpulan yang memperjuang hak asasi golongan minoriti Muslim Rohingya menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memerintahkan Myanmar untuk memulakan langkah pencegahan bagi melindungi Rohingya, lapor agensi berita Anadolu.

Menyifatkan keputusan ICJ sebagai satu 'kemenangan', Rangkaian Hak Asasi Manusia Burma (BHRN) yang berpangkalan di London berkata adalah menjadi tanggungjawab komuniti antarabangsa untuk memastikan Myanmar, tentera dan Penasihat Negara Aung San Suu Kyi mematuhi perintah mahkamah itu.

Ketika membacakan keputusan mengenai kes yang difailkan bulan lalu oleh Gambia, Presiden ICJ, Abdulqawi Ahmed Yusuf berkata, Myanmar diberi tempoh empat bulan untuk mengambil semua langkah pencegahan dan memastikan tiada kekerasan terhadap Rohingya di negara itu.

"Hari ini hari yang penuh bermakna untuk keadilan dan yang akhirnya memberi harapan kepada Rohingya selepas dunia selama ini melupakan mereka. Sekarang Burma (Myanmar) menyedari bahawa dunia tidak boleh lagi menanggung kejahatan mereka adalah penting semua pihak dalam masyarakat antarabangsa menggunakan apa jua pendekatan untuk memastikan Burma (Myanmar) mematuhi arahan ICJ," kata Pengarah Eksekutif BHRN, Kyaw Win.

BHRN menyuarakan kebimbangannya mengenai peningkatan 'ucapan kebencian' di Myanmar sebelum dan selepas keputusan ICJ.

"Dunia harus memantau Burma secara dekat pada masa depan dan mengambil langkah untuk memastikan Burma tidak membenarkan sebarang keganasan terhadap Muslim dan bukan Muslim Rohingya," kata kumpulan hak asasi itu.

Menurut kumpulan itu lagi, adalah menjadi kewajipan masyarakat antarabangsa untuk memastikan arahan itu dipenuhi. Burma perlu dimaklumkan kegagalan mematuhi keputusan itu menyebabkan negara berkenaan bakal berdepan tindakan termasuk sekatan, pengasingan dan langkah-langkah lain," kata kumpulan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: