Kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia kumpul dana pusat tahfiz: Fuziah

Fuziah
Fuziah
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan akan berbincang bersama persatuan dan pengusaha tahfiz untuk mencari mekanisme terbaik dalam usaha mengumpul dana pembangunan pusat tahfiz seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, sehubungan itu pengusaha tahfiz dan badan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara diminta bekerjasama dengan Yayasan Wakaf Malaysia dalam usaha memartabatkan pembangunan institusi tersebut.

Menurutnya, yayasan itu sebagai sebuah institusi berdaftar, memiliki kredibiliti dan prasarana yang lengkap untuk melaksanakan tugas mengumpul dana.

"Usaha mencari dana itu perlu dilakukan kerana peruntukan RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan tidak cukup untuk pusat tahfiz seluruh negara. Kita perlu berunding dengan pelbagai NGO bagaimana nak bantu institusi ini.

"Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah meluluskan Majlis Tahfiz Negara yang dasar itu memberi ruang kepada penambahbaikan aspek seperti kurikulum dan latihan guru untuk mengarusperdanakan pusat tahfiz.

"Tetapi malangnya dari segi pembangunan, kita tiada bajet kerana ia termasuk di bawah Enakmen Sekolah Sekolah Agama Negeri yang terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri masing-masing," katanya.

Fuziah (kanan) ketika acara simbolik penyerahan kunci traktor kepada penduduk.
Fuziah (kanan) ketika acara simbolik penyerahan kunci traktor kepada penduduk.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan dua traktor untuk kegunaan penduduk Kampung Pantai Sepat, Kampung Soi dan Kelab Komuniti Desa Kampung Pahang di Pantai Sepat di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, pihaknya berjaya memanfaatkan peruntukan Ahli Parlimen berjumlah RM2 juta tahun lalu dengan melaksanakan 69 projek kebajikan penduduk Parlimen Kuantan.

Antaranya pelaksanaan Projek Mesra Rakyat 2019, membaikpulih ibu pejabat polis daerah dan pejabat Marin, sumbangan Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (Kafa), baikpulih infrastruktur dan kemudahan awam seperti perpustakaan, tandas, padang futsal dan stesen bas, tempat letak bot nelayan, dewan dan baikpulih saliran.

"Kita juga membina jambatan bagi kegunaan pelajar sekolah di Kampung Bunut Rendang.

"Dengan jambatan itu mereka mudah dan ambil masa yang lebih singkat untuk ke sekolah berbanding melalui jalan raya," katanya.