Koronavirus: Johor perketat kawalan di semua pintu masuk

Semalam, media melaporkan seorang pelancong warga China disahkan positif koronavirus ketika menginap di sebuah hotel di negara republik berkenaan. Gambar kecil: Dr Aman Rabu
Semalam, media melaporkan seorang pelancong warga China disahkan positif koronavirus ketika menginap di sebuah hotel di negara republik berkenaan. Gambar kecil: Dr Aman Rabu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil serius penularan wabak koronavirus yang disahkan telah menjangkiti seorang pesakit di Singapura semalam.

Pengarahnya, Dr Aman Rabu berkata, langkah kawalan di semua pintu masuk ke negara ini khususnya di Tambak Johor akan terus diperketat terutama menjelang perayaan Tahun Baru Cina 2020.

"Sememangnya kita jangkakan berlaku pertambahan warga Singapura menjelang perayaan Tahun Baru Cina kali ini, jadi memang kita sudah bersedia dengan pemantauan dan ujian saringan.

"Buat masa ini, kita belum tambah anggota. Keadaan masih terkawal dan kita teruskan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

"Kita akan buat pemeriksaan suhu dan sekiranya demam, pemeriksaan lanjut dan ujian akan dilakukan dan sekiranya suhu tinggi, tetapi tidak demam kita akan keluarkan kad amaran (alert card)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Aman berkata, langkah tersebut turut membolehkan mana-mana individu yang menunjukkan simptom terbabit untuk segera mendapatkan rawatan dan ujian klinikal.

"Memang kena lakukan kerana wabak ini adalah kuman baharu. Kita masih belum mempunyai cara jelas untuk kesannya, berbeza dengan influenza kita dah tahu cara.

"Jadi ujian segera memang diperlukan, ia juga cara terbaik untuk pastikan wabak ini dapat dibendung dan tidak menular dengan lebih meluas," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, sehingga hari ini, JKNJ masih belum menerima sebarang makluman berhubung jangkitan wabak berkenaan yang dilaporkan di mana-mana hospital kerajaan dalam negeri.

"Belum ada laporan, tetapi kita akan sentiasa berwaspada," katanya.

Semalam, media melaporkan seorang pelancong warga China disahkan positif koronavirus ketika menginap di sebuah hotel di negara republik berkenaan.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan, penduduk Wuhan berusia 66 tahun itu dilaporkan tiba di negara terbabit pada Isnin lalu dan menginap di Shangri-La's Rasa Sentosa resort.

Dimaklumkan anak lelakinya berusia 37 tahun juga disyaki dijangkiti virus seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) tersebut manakala ahli kumpulan lawatan tersebut dikuarantin dan sedang dipantau selama dua minggu.