X

Kindly register in order to view this article
!

Bapa OKU didakwa raba, liwat anak

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas dihadapkan atas lima pertuduhan amang seksual dan liwat anak perempuannya hari ini.
A
A

IPOH - Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual dan meliwat anak perempuannya yang berusia 17 tahun sejak Disember tahun lalu.

Tertuduh yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan berusia 43 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Berdasarkan pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meraba dada dan punggung mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di rumahnya di Kampung Baru Sungai Terap, Batu Gajah antara jam 3 petang dan 5 petang pada 26 hingga 27 Disember 2019, 7 Januari dan 13 Januari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat serta hendaklah diperintahkan untuk menjalani pengawasan polis selama tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii tanpa kerelaannya pada tarikh, lokasi dan waktu yang sama.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan, boleh dipenjara 20 tahun dan sebat serta hendaklah diperintahkan untuk menjalani pengawasan polis selama tiga tahun.

Ketika prosiding, tertuduh dilihat mengalirkan air mata sebelum mengesat dengan tangan beberapa kali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim menawarkan jaminan sebanyak RM30,000.

Peguam Khairul Fairuz Rahman memohon mahkamah mengurangkan jaminan tertuduh berikutan mangsa bersama ibunya telah berada di Sarawak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dengan syarat perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah turut perintahkan jaminan tertuduh akan ditarik serta merta selepas didapati mengganggu mangsa.

Kes akan disebut semula pada 27 Februari depan.