Kemalangan libatkan haiwan ternakan meningkat

Pada kempen 'jom klik', Ahmad Adnan memasang topi keledar kepada salah seorang penunggang motosikal di Pusing semalam.
Pada kempen 'jom klik', Ahmad Adnan memasang topi keledar kepada salah seorang penunggang motosikal di Pusing semalam.
A
A
A

BATU GAJAH - Kemalangan membabitkan haiwan ternakan menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 135 kes dicatatkan tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, statistik menunjukkan peningkatan sebanyak lima peratus berbanding 2018 yang hanya mencatatkan 129 kes.

"Daripada itu, hanya satu kes kematian dilaporkan dan 130 kes mencatatkan kerosakan pada kenderaan pengguna jalan raya. Masing-masing dua kes adalah melibatkan kecederaan parah dan ringan.

"Peningkatan statistik itu perlu dipandang serius apabila kemalangan sering berlaku di jalan utama seperti Jalan Bemban dan Jalan Ipoh - Lumut (berhampiran Batu Gajah Perdana)," katanya selepas menyempurnakan Program Advokasi sempena Op Selamat 16 Tahun Baru Cina peringkat daerah di Taman Medan Pusing di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, C Vigneswaran dan Pengarah Perkeso Perak, Anthony Arul Das.

Menurutnya, pengguna jalan raya diminta untuk lebih berhati-hati memandu bagi mengelak bertembung dengan binatang yang melintasi jalan pada waktu malam.

"Penternak perlu bertanggungjawab menjaga haiwan ternakan agar tidak memberi risiko termasuk mengorbankan nyawa pengguna jalan raya.

"Penternak perlu mengambil inisiatif sewajarnya sebelum tindakan diambil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Ahmad Adnan berkata, PDRM memfokuskan enam kesalahan utama dalam Op Tahun Baru Cina yang berlangsung sehingga 1 Februari.

"Pengguna jalan raya perlu mematuhi undang-undang jalan raya dan lalu lintas terutama enam kesalahan utama seperti melanggar lampu isyarat merah, memandu di lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar.

"Kita turut memesan kepada penduduk yang ingin balik kampung untuk memaklumkan kepada pihak polis dengan mengisi borang rumah yang ditinggalkan," katanya.

Katanya, dalam memperkasakan kempen kesedaran, 300 risalah kempen keselamatan jalan raya dan pencegahan diedarkan.