X

Kindly register in order to view this article
!

Bercerai gara-gara campur tangan orang ketiga

JIKA ada campur tangan pihak ketiga dalam rumah tangga, pasangan boleh membuat aduan di pejabat penguat kuasa agama berhampiran.
A
A

SAAT dikhabarkan dirinya dipinang orang, alangkah girangnya rasa hati. Bertambah berbunga-bunga hati Harizah (bukan nama sebenar) tatkala mendapat tahu bahawa dirinya merupakan pilihan ibu mertuanya.

Tiga bulan selepas pinangan tersebut, Harizah, 26, dan Zakif (bukan nama sebenar), 30, diijabkabulkan dalam majlis yang disambut penuh meriah selama tiga hari berturut-turut. Ia termasuklah majlis pernikahan, walimah dan bertandang.

Usai majlis, Harizah bersama suaminya menetap di rumah keluarga mertuanya. Zakif merupakan anak sulung ada ada dua adik-beradik lagi yang masih belajar dan turut mendiami kediaman berkenaan.

Begitu pun, Harizah tidak kisah tinggal sebumbung dengan keluarga mertuanya. Ibu mertuanya melayannya dengan baik. Memasuki minggu kedua perkahwinan, ibu mertua Harizah mula berubah. Wanita itu mengawal semua urusan dalam rumah berkenaan.

Bagaimanapun, Harizah tidak menyimpan prasangka terhadap ibu mertuanya. Wanita itu diminta ibu mertuanya untuk mengemas rumah, menggosok baju dan melakukan kerja-kerja rumah yang lain. Walaupun Suhaiza seorang wanita berkerjaya, namun semua itu dilalui dengan baik. Ya, adat menumpang di rumah orang, kenalah membantu semua itu.

Ibu mertuanya juga mula mencampuri urusan rumah tangganya dan mengawal pergaulannya dengan suami hingga Harizah rasa tidak keruan. Ketidakselesaan itu disuarakan kepada Zakif.

Zakif seolah-olah tidak ambil peduli akan dirinya dan tidak ambil 'pusing' dengan perbuatan ibunya sendiri. Lalu, dengan hati yang berat, Harizah meneruskan hari-harinya dengan penuh duka yang hanya mampu dipendam dalam hatinya.

Memasuki enam bulan perkahwinan, Zakif disahkan mengandung. Ibu mertuanya dilihat seolah-olah tidak menyukai perkhabaran baik itu. Sehinggalah Harizah mengalami pendarahan. Tiba di hospital, doktor mengesahkan bahawa kandungannya tidak dapat diselamatkan. Terlalu getir untuk menerima hakikat perit itu. Apatah lagi apabila mengingatkan kejadian sebelum mereka ke hospital. Dalam keadaan cemas sebegitu, Harizah 'bertekak' dengan Zakif gara-gara lelaki itu enggan membawanya ke hospital atas alasan ibunya tidak mengizinkannya berbuat demikian!

Tiga hari kemudian, Harizah dibenarkan pulang ke rumah. Lantas, kesempatan itu diambil Zakif untuk menghantar Harizah ke rumah ibu wanita itu. Pada malam itu, Harizah menelefon suaminya. Zakif meluahkan tekanan yang dihadapinya. Lelaki itu dimarahi ibunya gara-gara menghantar Harizah pulang ke rumah keluarganya.

Selepas itu, langsung tiada khabar berita daripada Zakif. Puas dia cuba menghubungi suaminya. Penat jari-jemarinya menaip mesej. Malangnya, usahanya itu semua sia-sia kerana tiada jawapan balas.

Minggu berganti minggu, akhirnya, Zakif membalas juga mesej Harizah. Zakif membuat kejutan. Mesej itu secara jelas menyatakan: "Saya ceraikan awak dengan talak 1." Dunianya seakan-akan kelam seketika. Dadanya terasa sesak dan perit. Segala perasaan itu dihambur keluar.

MESEJ perceraian perlu dibuktikan di mahkamah sama ada jatuh talak ataupun tidak.
MESEJ perceraian perlu dibuktikan di mahkamah sama ada jatuh talak ataupun tidak.

Enggan terus dijeruk pelbagai rasa, Harizah kemudian membawa kes itu ke mahkamah syariah untuk pengesahan lafaz cerai. Mahkamah syariah memutuskan perceraian itu adalah sah dan jatuhnya talak. Maka, terlerailah hubungan antara Harizah dan Zakif.

Tidak wajar kawal perkahwinan anak, ibu bapa boleh didakwa

BUAT mereka yang berhadapan dengan masalah campur tangan urusan rumah tangga daripada pihak ketiga termasuklah ibu bapa, pihak berkaitan boleh membuat aduan di pejabat penguat kuasa agama berhampiran.

Demikian nasihat peguam syarie, Raihan Mustafa Kamal sekiranya pasangan suami isteri berkenaan menghadapi masalah sepertimana yang dialami oleh Harizah dan Zakif.

RAIHAN
RAIHAN

Ujar beliau, ia bagi membolehkan kertas siasatan dibuka atas kes berkenaan.

"Sekiranya kes tersebut bermerit, kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan syarie bagi tujuan pendakwaan.

"Diingatkan, jika aduan dibuat berkaitan dengan orang ketiga, pastikan pihak berkenaan mempunyai bukti semasa membuat aduan. Ini kerana, kebanyakan kes orang ketiga tidak didakwa kerana kurangnya bukti ketika aduan dilaporkan," katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Menurut Raihan, perkara itu dinyatakan jelas sepertimana undang-undang yang diperuntukkan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

"Ia antara lain melibatkan kesalahan memujuk lari perempuan bersuami, menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri dan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan tanggungjawab," terang beliau.

Bagi membendung masalah tersebut, Raihan menitipkan pesan supaya ibu bapa tidak mencampuri urusan rumah tangga anak yang telah berkahwin.

"Biarlah kedua-dua pasangan berkenaan hidup dengan cara dan gaya mereka sendiri dalam mengemudi rumah tangga. Jangan masuk campur melainkan jika ada dharar.

"Menasihati (anak) sahaja tidak mengapa. Bagaimanapun, mengawal perkahwinan anak tersebut adalah satu perkara yang tidak wajar kerana tindakan tersebut mungkin menyebabkan ibu bapa boleh didakwa di bawah kesalahan jenayah syariah sebagaimana yang disebutkan tadi," ujar beliau.

Seperkara lagi, Raihan turut menegaskan, andai kata seseorang menerima lafaz cerai menerusi mesej, rujuklah kepada mahkamah syariah untuk mendapatkan pengesahan.

Jelas beliau, lafaz talak melalui mesej bukanlah kata muktamad yang menyatakan bahawa seorang isteri itu telah diceraikan.

"Mesej tersebut perlu dibuktikan di mahkamah dan apakah niat si suami semasa menulis lafaz tersebut. Jadi, amatlah penting sekiranya berlaku kejadian seperti ini, pihak isteri ke mahkamah syariah untuk membuat pengesahan daripada membuat andaian sendiri bahawa mereka telah ditalakkan.

"Hakim akan membuat satu siasatan sama ada lafaz tersebut jatuh talak ataupun tidak," jelas beliau sepertimana diperuntuk dalam Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.