Belia orang asli ketagih arak membimbangkan

Tanah Tinggi Lojing didiami lebih 1,000 penduduk yang terdiri daripada 20 buah kampung.
Tanah Tinggi Lojing didiami lebih 1,000 penduduk yang terdiri daripada 20 buah kampung.
A
A
A

GUA MUSANG - Pembangunan pertanian di Tanah Tinggi Lojing di sini dilihat sebagai satu perkembangan ekonomi yang baik, namun ia didakwa turut memberi kesan negatif terhadap penduduk orang asli di 20 kampung di kawasan itu.

Ketua Kampung Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng berkata, lebih 1,000 masyarakat orang asli Lojing terdedah dengan pengaruh alkohol dan ia mula dikesan sejak tahun 2000 iaitu ketika Lojing mula dibangunkan.

Beliau berkata, sejak itu, pasaran alkohol makin mudah didapati kerana Tanah Tinggi Lojing menjadi tempat buruh asing seperti Nepal, Myanmar dan Indonesia bekerja kerana jumlahnya melebihi bilangan penduduk orang asli di kawasan tersebut.

"Ia mula dikesan sejak tahun 2000 lagi dan sekarang semakin serius tanpa dibendung sehingga menyebabkan budak-budak belasan tahun yang masih bersekolah juga ketagihan alkohol.

Bidi Ronggeng
Bidi Ronggeng

"Pasaran arak mudah didapati di kedai-kedai berhampiran. Ibu bapa mula melahirkan kebimbangan kerana ketagihan alkohol ini boleh beralih kepada dadah sekiranya tidak dibendung.

"Bukan itu sahaja, lebih 50 peratus belia dan golongan bawah umur terlibat dalam ketagihan ini dan boleh memberi kesan masalah sosial di kalangan masyarakat," katanya.

Kelmarin, Penguatkuasa Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) merampas dan menyita arak dalam operasi pertama tahun ini bernilai RM2,500 di sebuah premis di Tanah Tinggi Lojing.

Artikel Berkaitan:

Pembantu Penguatkuasa Kanan MDGM, Kamarudin Idris berkata, rampasan dilakukan atas kesalahan tiada lesen perniagaan di bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDGM 2012.

"Unit penguat kuasa menerima aduan dari orang ramai mengatakan arak dijual secara terbuka terutamanya kepada belia orang asli di sekitar kawasan berkenaan.

"Kegiatan ini jika tidak dibendung boleh membawa kepada ketidaktenteraman awam dan masalah sosial dalam masyarakat orang asli," katanya.