Kontrak mampu jadi penyelamat pemain

Laporan Sinar Harian kelmarin.
Laporan Sinar Harian kelmarin.
A
A
A

PARA pemain skuad Piala Presiden dan Piala Belia negeri mahupun kelab digesa mendapatkan kontrak daripada majikan masing-masing sebelum mewakili mana-mana pasukan dalam saingan Liga-Malaysia (Liga-M).

Menurut bekas jurulatih skuad Piala Presiden Perlis, Manja Man, kontrak itu penting bagi membolehkan para pemain muda melindungi diri mereka daripada menghadapi masalah terutamanya dalam isu melibatkan pembayaran gaji.

Menurutnya, terdapat kemungkinan segelintir pasukan atau kelab yang terlepas pandang atau mengambil sikap sambil lewa apabila berkaitan isu gaji membabitkan pemain-pemain skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

“Mungkin dalam kerancakan pasukan atau kelab mengharungi saingan Liga-M, mereka terlepas pandang bab gaji atau elaun para pemain muda ini kerana tumpuan lebih diberikan kepada kepada skuad utama (Liga Super dan Liga Premier).

“Bukan saya mahu kata pasukan atau kelab tidak bayar gaji tetapi mungkin juga ada pasukan yang terlepas pandang atau dahulukan gaji skuad utama berbanding skuad sokongan (Piala Presiden dan Piala Belia),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, biarpun gaji para pemain skuad Presiden dan skuad Belia ini tak semewah skuad utama pasukan atau kelab, namun mereka juga terikat dengan komitmen masing-masing.

Manja Man
Manja Man

“Satu lagi ingin saya tegaskan kepada pemain supaya setiap kali sign kontrak, jangan lupa dapatkan salinan kontrak. Jika para pemain ini berdepan masalah tunggakan gaji, laporkan terus kepada FAM berserta dengan bukti.

“Ibu bapa pemain itu sendiri pula perlu peka dalam perkara ini kerana pada tahap usia sebegini, mereka tidak memiliki ejen. Jadi ibu bapa perlu menjadi pembimbing mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyelesaikan masalah melibatkan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan Liga Super dan Liga Premier terlebih dulu sebelum memantau isu sama melibatkan skuad Piala Presiden dan Piala Belia selepas 31 Januari ini.

Manja turut memuji tindakan FAM itu yang dianggapnya tidak tertumpu kepada isu tunggakan gaji pemain skuad utama Liga Super dan Liga Premier, malah turut prihatin situasi skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

“Cuma dalam isu tunggakan gaji ini, saya harap FAM bertegas untuk selaraskan supaya tidak ada pasukan yang membayar gaji skuad utama terlebih dulu, kemudian baru skuad Piala Presiden atau Piala Belia.

“Jika dalam kontrak kata skuad utama, skuad Presiden dan Belia dapat gaji pada 27 hari bulan, maka 27 hari bulan sepatutnya semua dapat,” katanya.