Jangan biar penjenayah ‘beraya’ di rumah kita

Jenayah pecah rumah tidak boleh dipandang ringan kerana ada kejadian yang berlaku turut melibatkan kehilangan nyawa.
Jenayah pecah rumah tidak boleh dipandang ringan kerana ada kejadian yang berlaku turut melibatkan kehilangan nyawa.
A
A
A

SEMPENA cuti Tahun Baru Cina ini, pastinya ramai yang mengambil peluang pulang ke kampung mahupun pergi bercuti.

Perlu diingatkan, rumah yang ditinggalkan sepanjang cuti juga perlu dititikberatkan dengan keselamatan bagi mengelak daripada dipecah masuk penjenayah.

Selain melaporkan kepada pihak berkuasa semasa ketiadaan di rumah, kita juga boleh melaporkan kepada Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang diwujudkan di setiap kawasan perumahan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak putus-putus menasihatkan orang ramai mengenai langkah-langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah masing-masing.

Antaranya ialah mengunci pintu dengan baik, memasang lampu automatik, jangan meninggalkan barangan berharga di rumah dan elakkan berkongsi gambar percutian di media sosial.

Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berpendapat, beberapa langkah berjaga-jaga lain juga harus diambil peduli oleh orang ramai sepanjang meninggalkan rumah.

“Antaranya dengan memaklumkan kepada jiran terdekat, mengisi borang maklumat balik kampung bagi memudahkan pemantauan polis, usah terlalu menunjukkan barang yang banyak di dalam rumah serta menghentikan penghantaran surat khabar sepanjang ketiadaan di rumah,” katanya.

Namun, antara langkah yang dinyatakan di atas, ada satu cara pencegahan yang menarik perhatian penulis iaitu memberitahu jiran sekiranya pulang ke kampung atau bercuti.

Artikel Berkaitan:

Hubungan dengan jiran sangat penting dalam menangani jenayah pecah masuk rumah. Jangan kita bersikap sombong dengan jiran. Amalkan budaya cakna terhadap keadaan sekeliling. Kita juga perlu menyimpan nombor telefon jiran terdekat yang boleh dihubungi jika berlaku perkara tidak diingini.

Selain itu, orang ramai juga disarankan menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang dilancarkan PDRM pada tahun 2017.

Tumpas

Jenayah pecah rumah tidak boleh dipandang ringan kerana ada kejadian yang berlaku turut melibatkan kehilangan nyawa. Berdasarkan laporan statistik Ops Selamat 15 pada pertengahan tahun lepas, sebanyak 380 kes pecah rumah dan premis dilaporkan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 94 kes diikuti Sabah (37), Sarawak (36), dan Kuala Lumpur sebanyak 33 kes.

Biarpun statistik menunjukkan kes pecah rumah semakin menjadi-jadi, namun hasil gerak pantas pihak polis, beberapa kumpulan yang terlibat dalam kegiatan pecah masuk rumah berjaya ditumpaskan pada awal tahun ini.

Dalam laporan media pada 2 Januari lalu, kumpulan pecah rumah dikenali Geng Alil tumpas selepas empat lelaki ditahan dalam serbuan di Shah Alam, Selangor.

Pada 8 Januari lalu, Geng Ah Leong yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di Perak tumpas selepas tiga ahli kumpulan itu termasuk seorang wanita ditahan polis. Modus operandi mereka adalah menyasarkan kediaman jenis pangsapuri di sekitar Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan.

Pada 9 Januari lalu pula, polis menumpaskan lima ahli Geng Ah Wai yang aktif melakukan jenayah samun, pecah rumah dan curi kenderaan di Kuala Lumpur.

Jenayah pecah rumah bukan sahaja menyebabkan mangsa mengalami kerugian, malah ada juga yang serik dengan kejadian itu sehinggakan sanggup mengubah suai kediaman bagi mengelak daripada terus menjadi sasaran penjenayah.

Di Kangar, Perlis, seorang kontraktor elektrik, Mohamad Hanif Allah Pitchay, 42, nekad mengubah suai rumahnya kerana sering dimasuki pencuri.

Mohamad Hanif berkata, sebelum ini rumahnya mempunyai tingkap seperti rumah lain namun setelah dua kali dipecah masuk yang mengakibatkan kehilangan sejumlah wang dan motosikal, beliau mengambil keputusan membuang semua tingkap pada hujung tahun lepas.

Tiada siapa mahu rumah dipecah masuk, namun diingatkan kepada semua sentiasa berwaspada bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.