E-dompet dimonopoli golongan muda

Barjoyai Bardai - FOTO ROSLI TALIB
Barjoyai Bardai - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan disarankan supaya memperluaskan lagi penggunaan e-dompet bagi menerapkan gaya hidup digital dalam kalangan masyarakat di negara ini kerana di Malaysia ia hanya dimonopoli golongan muda.

Pakar Ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, penggunaannya aplikasi pembayaran digital yang mewujudkan komuniti dan budaya tanpa tunai itu kebanyakan terdiri daripada golongan yang berumur lingkungan 25 tahun.

“Kita lihat pengenalan e-dompet di Malaysia agak lambat berbanding negara lain terutamanya di China disebabkan langkah berhati-hati serta ketelitian yang diambil Bank Negara Malaysia (BNM).

“Ini langkah yang baik, namun kerajaan perlu menggalakkan dan mempromosikan penggunaan e-dompet ini kepada seluruh masyarakat supaya ia boleh menjadi mata wang baru di Malaysia tanpa perlu menggunakan wang fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Siri 152 bertajuk E-Dompet: Bersediakah Kita? Di Dewan Karangkraf di sini malam tadi.

Menurutnya, Malaysia masih mempunyai ruang untuk mengembangkan penggunaan sistem pembayaran e-dompet memandangkan ketika ini terdapat 45 peratus rakyat negara ini menggunakan perkhidmatan itu.

“E-dompet mempunyai banyak potensi untuk dilaksanakan secara meluas kerana pengguna lebih selesa menggunakannya dan mula beralih ke arah kaedah pembayaran seperti itu.

“Bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai, penyedia perkhidmatan perlu menangani isu keperluan dan penerimaan pengguna dengan menyediakan kaedah mudah dan meyakinkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, apabila pengguna mula beralih kepada perbankan digital melalui wang digital, urusan perniagaan akan menjadi lebih cekap dan berkesan.

“Apabila pengguna sudah biasa menggunakan mata wang digital, mereka akan lebih bersedia untuk melakukan urusan perniagaan.

"Oleh itu, urusan perniagaan boleh menjadi lebih besar dan memberi impak positif kepada ekonomi dan jumlah perniagaan,” katanya.

Barjoyai berkata, kualiti hidup rakyat juga akan bertambah baik apabila lebih ramai orang menjalankan urus niaga dalam talian yang menjimatkan masa.

"Ini bermakna pengguna tidak perlu pergi ke bank untuk urusan perniagaan formal.

“Jadi, apa yang menjadi keutamaan sekarang dalam memupuk kesedaran mengenai kepentingan dan manfaat untuk beralih daripada masyarakat yang bergantung kepada tunai kepada komuniti digital,” katanya.