X

Kindly register in order to view this article
!

Kita berdalih untuk tidak bersatu

A
A

DUNIA kini penuh dengan pergolakan. Pertembungan antara negara, konflik bersenjata, perang saudara, persengketaan politik dan perang perdagangan.

Kita menyaksikan kesengsaraan yang merata di seluruh dunia. Lebih 70 juta menjadi pelarian. Puluhan juta kebuluran. Ratusan juta tidak cukup zat makanan. Ratusan juta lagi hilang tempat tinggal.

Abad ke-21 benar-benar bermula dengan senario yang tidak menentu, penuh ketegangan dan berakhir dengan pertumpahan darah.

Sayangnya dengan keadaan yang sangat meruncing ini masih terdapat rakyat di Malaysia leka dengan persengketaan.

Melihat keadaan dunia yang sangat tidak tenteram sepatutnya menginsafkan kita betapa kita perlu memberi keutamaan kepada hidup saling berdamai dan saling mengukuhkan. Negara yang telah berusia 63 tahun ini telah melalui babak perkembangan dan kemajuan yang boleh dikatakan secara relatif jauh lebih baik berbanding negara yang lain.

Kita masih mendepani isu integriti yang belum terlerai. Kita juga belum dapat menyempurnakan pengurusan sumber negara dengan baik.

Budaya membazir terus berleluasa. Pertelingkahan politik antara parti dan juga dalaman parti terus panas dan tidak mereda. Atas nama kebebasan berbicara dan demokrasi, persengketaan politik tidak menemui kesepakatan.

Semua ini mengalih tumpuan kita untuk melihat matlamat yang lebih besar iaitu menjadikan negara ini maju dan dibangunkan sebagai negara yang kuat dan dihormati.

Kita sangat mendambakan kesatuan, akan tetapi sikap dan cara kita berfikir tidak nampak tanda kita berusaha ke arah itu. Lalu saban hari ada sahaja isu yang dibangkitkan dengan sengaja untuk dijadikan sebab kenapa kita tidak boleh bersatu.

Sementara roda pemerintahan perlu terus berjalan, setiap masalah harus diatasi dengan bijak. Jika tidak, negara ini sangat mudah jatuh ke dalam gaung pertembungan antara kaum dan agama yang akan menghancurkan semua.

Malang sekali, setelah sedemikian jauh kita menapak, kita sering berdepan dengan dilema.

Negara ini terus melalui tahap jatuh bangun sebagai sebuah negara yang berhasrat menjadi negara maju. Seolah-olah setiap kali kita melangkah setapak ke hadapan, ada yang mahu menarik kita mundur sepuluh tapak ke belakang.

Hakikatnya kita terdedah kepada sistem dunia yang memberi impak kepada perjalanan negara, baik dari segi ekonomi mahupun keamanan dan pertahanan.

Kini sudah ada negara yang hancur dan dikategori sebagai 'negara gagal'. Akibat campur tangan kuasa luar, negara tersebut hancur. Atas nama kononnya untuk membawa demokrasi dan keamanan, kini Iraq, Syria, dan Yemen bagaikan nyawa-nyawa ikan.

Demikian juga kita menyaksikan Somalia, Sudan, Libya dan Mesir terus bergolak. Puak-puak yang bersengketa menggunakan senjata yang dibekal oleh kuasa luar dan kemudian diguna untuk memerangi antara satu sama lain. Natijahnya masing-masing saling membunuh sesama sendiri sehingga tidak ada lagi yang dapat bertahan melainkan kehancuran disaksikan di mana-mana.

Lantaran itu, kenapa kita tidak mahu mengambil iktibar daripada senario yang jelas dan nyata ini?

Kenapa kita terlalu banyak berdalih untuk tidak mahu mengukuhkan kesatuan dalam negara ini? Kenapa kita membiarkan terlalu banyak alasan untuk tidak bersatu? Seolah-olah kita tidak langsung peka dan memikirkan mengenai nasib anak cucu kita.

Inilah yang menyebabkan kita tidak boleh membiarkan adu domba antara kita terus berleluasa. Sepatutnya kita lebih banyak beralasan untuk bersatu dan saling mengukuhkan.

Perlu ada tahap kematangan untuk kita berfikir secara matang dan berhemah. Agar kita lebih berusaha mencari dalil dan sebab untuk bersatu dan bukan untuk berpecah.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!