X

Kindly register in order to view this article
!

Iltizam bangunkan industri pertahanan

A
A

KEMAJUAN industri pertahanan tempatan bakal melangkah setapak lagi apabila firma aeroangkasa Turki, Turkish Aerospace Industries (TAI) mempelawa Malaysia menyertai program pembangunan pesawat tempur masa hadapan, Turkish Fighter-Experimental atau TF-X.

TF-X ialah pesawat pejuang superioriti berciri halimunan dibangunkan menerusi usaha sama TAI dengan firma BAE Systems dari Britain untuk menggantikan pesawat F-16 Turki. Projek itu menelan kos kira-kira AS$50 bilion.

Difahamkan, satu memorandum persefahaman sudah dimeterai antara TAI dengan sebuah syarikat tempatan tahun lalu bagi pembuatan komponen komposit pesawat TF-X, namun sehingga kini belum ada kata putus mengenainya.

Selain TF-X, Turki turut mempelawa syarikat tempatan untuk terbabit dalam program pembangunan pesawat latihan dan tempur negara itu, Hurkus dan pesawat udara tanpa pemandu, Anka.

Sekiranya kerjasama itu menjadi kenyataan, ia akan memacu kemahiran industri kita dalam bidang aeroangkasa dan pembinaan pesawat pengangkut udara strategik Airbus A400M.

Pembelian Airbus A400M menyaksikan Malaysia menjadi negara tunggal Asia menyertai program pesawat pengangkut global bersama-sama Perancis, Jerman, Sepanyol, Britain, Turki, Belgium, Luxemborg dan Afrika Selatan.

Kerjasama serupa juga dilaksanakan misalnya semasa pembelian kenderaan tempur Adnan, kereta kebal PT91M dan kenderaan AV-8 Gempita melibatkan syarikat tempatan bersama pengeluar asal.

Begitu juga kapal-kapal perang seperti pembinaan enam kapal peronda kelas Kedah dan terbaru, enam kapal tempur pesisir kelas Maharajalela.

Bagaimanapun, bercakap soal kemampuan berdikari dalam membangunkan industri pertahanan negara, hakikatnya matlamat ke arah tersebut dilihat tidak berjalan seperti digariskan kerajaan kerana sehingga kini keupayaan syarikat-syarikat tempatan yang terbabit terhad.

Terhad di sini bermaksud hampir kebanyakan syarikat tempatan bergantung kepada kontrak kerajaan. Ada antaranya yang menerajui sesuatu bidang untuk tempoh lama tanpa cuba meneroka menjadi pengeluar serta bersaing menembusi pasaran luar negara.

Sebenarnya, langkah Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk memperkasa industri itu dapat dilihat menerusi penubuhan Majlis Industri Pertahanan Negara (MIPN) pada Ogos 1999 dengan objektif memastikan pembangunan industri pertahanan tempatan dilaksanakan secara teratur.

Selepas 11 tahun, MIPN kemudian dinaik taraf sebagai Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Pertahanan Malaysia (MIDES).

Seperkara lagi, pembabitan dalam industri pertahanan turut mempunyai cabaran kerana selain melibatkan pelaburan tinggi, ia tidak menjamin pulangan jika tiada komitmen dari pihak kerajaan terhadap sesuatu perolehan.

Pelan sesuatu program berkaitan pertahanan yang melibatkan industri tertentu demi merealisasikan dasar berdikari hendaklah bersifat jangka panjang selain memerlukan sokongan kerajaan khususnya Mindef serta industri lain yang berkepentingan.

Terbaharu, Kertas Putih Pertahanan (KPP) memperkenal pelan strategik untuk Dasar Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan (DSTIP) yang menggariskan lima inisiatif termasuk penstrukturan semula MIDES sebagai majlis eksekutif yang menetapkan hala tuju sains, teknologi dan industri pertahanan.

Sebenarnya, apa pun dasar atau hala tuju yang dirangka ia mestilah benar-benar mampu memperkasa industri pertahanan supaya negara dapat mengurangkan kebergantungan kepada pihak lain.

Jika matlamatnya hanyalah berasaskan keuntungan, maka program sedemikian kerap tidak bertahan lama apabila firma tempatan yang menjadi rakan strategik sesuatu perolehan ini hanya bertindak sebagai orang tengah antara penjual dan pembeli.

Begitu juga ia tidak semestinya perlu melibatkan bidang yang berteknologi tinggi sebaliknya memadai keupayaan sederhana tetapi mampu dihasilkan untuk industri pertahanan kita berada pada kedudukan berdikari.

Contohnya, mengeluarkan raifal, pistol dan submesingan dengan kualiti yang setanding dengan buatan luar negara.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu