Buruh dipenjara, denda RM2,000 kerana curi kereta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang buruh menerima padah apabila dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mencuri sebuah kereta sehingga menyebabkan ketakutan terhadap seorang wanita, Isnin lepas.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Yong Wei Choon, 39, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 7 Jan lepas dan tiga bulan penjara, sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Lelaki itu didakwa telah mencuri sebuah kereta jenis Proton Persona dan semasa cuba melarikan kereta tersebut dia dengan sengaja menyebabkan pegawai bank Raja Rosmieha Raja Sulaiman, 37, ketakutan untuk dicederakan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan aras 5, Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Cheras pada 5.30 pagi, 7 Jan lepas mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamaluddin memohon hukuman berat dengan alasan ia adalah kesalahan serius kerana kejadian ini berlaku di tempat awam.

“Kejadian ini berlaku pada 5.30 pagi malah kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat berbahaya dan perlu dipandang serius kerana kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, Yong yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menjaga neneknya berusia 80 tahun.

Artikel Berkaitan:

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa sedang menunggu suaminya di dalam kereta tersebut dan semasa suaminya sedang membayar tiket tempat meletak kenderaan, tertuduh secara tiba-tiba masuk ke dalam kereta itu.

Mangsa yang terkejut kemudiannya menjerit sambil meminta tolong dan keluar daripada kereta tersebut namun tertuduh telah melarikan diri tetapi dia berjaya ditahan oleh polis bantuan di terminal itu. - Bernama