JKM cari waris kanak-kanak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris kepada tiga kanak-kanak bagi tujuan penempatan dan dokumen pengenalan diri.

Menerusi satu kenyataan, JKM memaklumkan kanak-kanak bernama Silvianasari dirujuk oleh pihak Hospital Sungai Buloh pada 11 September 2016.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan maklumat diperoleh, ibu bapa kandung menyerahkan kanak-kanak tanpa dokumen kepada seorang lelaki bernama Mokhtar sebagai cagaran kerana tidak mampu membayar hutang kepada lelaki tersebut.

Laporan polis berhubung pengambilan kanak-kanak dibuat di Pondok Polis Hospital Selayang pada 10 September 2016.

“Mokhtar dan isteri menjaga kanak-kanak tersebut selama tiga tahun sebelum menyerahkannya kepada seorang warga Indonesia bernama Sahri kerana tidak mampu lagi menjaganya.

“Kanak-kanak ini diperintahkan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Selayang pada 23 November 2016 untuk di tempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras selama tempoh tiga tahun selaras dengan Seksyen 30(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Tempoh jagaan telah tamat dan kanak-kanak dibawa ke mahkamah semula bagi mendapatkan perintah baru,” katanya.

Sehubungan itu, mereka yang mempunyai maklumat berkenaan waris kanak-kanak diminta menghubungi Pegawai Pelindung JKM, Nur Adila Fakhrudin di talian 0361785731.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, kanak-kanak lelaki bernama Mikhail Alam Shah, 7, pula ditinggalkan tanpa sebarang dokumen kepada seorang individu di Damansara Damai pada tahun 2016.

Penjaga sementara memaklumkan ibu kandung kanak-kanak dikenali dengan nama Santi memberitahu hanya akan meninggalkan anaknya untuk tempoh sementara waktu.

“Orang awam yang mengenali ibu kandung atau waris kepada Mikhail diminta menghubungi Unit Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling di talian 0378422584/03/7842 2587 atau 0193481479,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan pihaknya mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi berusia empat bulan yang dilahirkan pada 5 September lalu.

Bayi kepada warga Vietnam bernama Huynh Thanh Thuy ditinggalkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang beberapa minggu selepas dilahirkan.

“Ibu kandung tidak pernah datang menjenguknya yang kini ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras.

“Kes bayi ini akan dibicarakan semula pada 6 Februari ini Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) Klang. Sehubungan itu, kami perlu mengesan ibu kandung atau waris bagi kanak-kanak untuk tindakan selanjutnya.

“Kepada sesiapa yang mengenali ibu kandung atau waris kepada kanak-kanak sila tampil atau menghubungi Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang, Nurzatulhain Mohd Othman di talian 0333413703/3913,” menurut kenyataan itu.