Pemandu Ford Ranger rempuh penunggang motosikal direman

Rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki dibelasah orang ramai hari ini.
Rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki dibelasah orang ramai hari ini.
A
A
A

KLANG - Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dibelasah orang ramai selepas kenderaan dipandunya merempuh dua motosikal dalam kejadian di Jalan Kebun pagi tadi direman bagi membantu siasatan.

Video rakaman kejadian berdurasi 1 minit 43 saat yang menunjukkan lelaki tersebut dipijak, disepak dan ditendang beberapa kali tular di media sosial hari ini.

Terdahulu, salah seorang daripada penunggang motosikal yang dirempuh Ford Ranger dipandu lelaki itu maut dalam kejadian di Jalan Kebun dari arah Bulatan Jalan Kebun menghala ke jejambat KESAS di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi, mangsa, Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo LC disahkan maut di lokasi kejadian.

"Siasatan polis mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila Ford Ranger dipandu penjual ikan berusia 37 tahun itu memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan dua buah motosikal termasuk yang ditunggang mangsa.

"Kemalangan itu juga menyebabkan dua lagi mangsa berusia 27 tahun yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 mengalami kecederaan parah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pemandu Ford Ranger direman pada jam 2 petang tadi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 1(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Penunggang motosikal maut dirempuh Ford Ranger