Maqis Kelantan rampas daging babi lagi...

Pegawai Maqis menunjukkan barang dirampas daripada penumpang yang tiba dari Singapura, kelmarin.
Pegawai Maqis menunjukkan barang dirampas daripada penumpang yang tiba dari Singapura, kelmarin.
A
A
A

KOTA BHARU - Masih kurang kesedaran. Itu yang boleh digambarkan terhadap segelintir masyarakat terutamanya warga asing yang datang ke Malaysia meskipun larangan pengimportan daging dan produk babi telah dikeluarkan kerajaan.

Ahad lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah merampas 50 kilogram (kg) daging babi salai yang cuba dibawa masuk ke negara ini di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini.

Terbaharu, Maqis berjaya merampas pelbagai jenis produk babi seberat 30kg di lapangan terbang tersebut setelah membuat pemeriksaan terhadap 10 penumpang dari Singapura pada jam 12.30 tengah hari, kelmarin.

Pengarah Maqis Kelantan, Azam Yahya berkata, hasil pemeriksaan dibuat terhadap semua warga Singapura yang baru sahaja tiba melalui penerbangan Singapura di balai ketibaan LTSIP, menjumpai pelbagai jenis produk babi yang dibungkus dengan pembalut plastik dalam bagasi masing-masing.

“Produk tersebut ditahan atas kesalahan tidak mempunyai suatu permit import sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Maqis serta tidak mempunyai sijil kesihatan daripada pihak berkuasa negara asal.

“Produk babi tersebut itu dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri. Anggaran nilai tahanan (rampasan) produk babi tersebut mencecah RM5,000 dan menjadi tahanan terbesar produk babi setakat ini di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

Azam berkata, Kementerian Industri Asas Tani telah mengeluarkan arahan larangan pengimportan babi dan produk babi dari 13 negara iaitu China, Thailand, Vietnam, Laos, Poland, Belgium, Cambodia, Hong Kong, Myanmar, Laos, Korea, Filipina dan Indonesia sebagai langkah pencegahan penyebaran virus African Swine Fever (ASF).

Artikel Berkaitan:

"Semua pelancong diminta mematuhi larangan pengimportan babi serta produk babi terutama ketika musim perayaan ini,” katanya.