SKPK mahu jadi jaguh sukan hoki

Mohamad Sukri memberikan kata-kata perangsang kepada murid SKPK.
Mohamad Sukri memberikan kata-kata perangsang kepada murid SKPK.
A
A
A

SEKOLAH Kebangsaan Paya Keladi (SKPK) komited dalam usaha membangunkan sukan hoki dan mencungkil bakat baharu dalam kalangan murid dengan melancarkan Kelab Hoki Transformasi Sekolah 2025 (TS25) semalam.

Kelab Hoki TS25 SKPK yang disertai lebih 60 murid lelaki dan perempuan bukan sahaja dibimbing oleh guru yang terlatih malah mereka juga diberi pendedahan serta peluang menimba ilmu dengan jurulatih serta pemain hoki ternama.

Guru Besar SKPK, Noor Azhar Mansor berkata, penubuhan Kelab Hoki TS25 SKPK selaras dengan program yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan dan bertujuan untuk memastikan kemenjadian murid yang seimbang dari segi akademik dan sukan.

Menurutnya, SKPK memilih hoki sebagai sub bidang sukan dalam program TS25 berikutan mempunyai sepenuhnya kepakaran dalam kalangan guru sebagai jurulatih.

Ahli Kelab Hoki TS25 SK Paya Keladi bergambar bersama pemain hoki kebangsaan, Mohamad Sukri Abdul Mutalip kelmarin.
Ahli Kelab Hoki TS25 SK Paya Keladi bergambar bersama pemain hoki kebangsaan, Mohamad Sukri Abdul Mutalip kelmarin.

“Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sebelum ini dalam mengasah bakat murid termasuk mengadakan latihan mingguan, kem hoki bersama pelatih Institut Perguruan Kampus Sultan Abdul Halim dan klinik hoki bersama bekas Jurulatih Hoki Wanita Kebangsaan, Dharma Raj di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Bagi menguji kekuatan dan kemahiran yang dipelajari selama ini, kita menghantar pasukan untuk menyertai pelbagai pertandingan termasuk di peringkat kebangsaan bagi memberi pendedahan kepada mereka untuk berdepan dengan pasukan lain yang lebih handal,” katanya selepas majlis pelancaran Kelab Hoki TS25 SKPK di sini kelmarin.

Pelancaran berkenaan dibuat oleh Pegawai Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara, Wan Anuar Wan Cheek.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis itu, ahli Kelab Hoki TS25 SKPK berpeluang berkongsi pengalaman dengan ketua pasukan hoki kebangsaan, Mohamad Sukri Abdul Mutalip yang hadir memberikan motivasi melalui program Bintang Bersama Bintang.