Rawatan air mesra alam

SISTEM UF dipasang di Ulu Tual, Kuala Lipis, Pahang pada tahun 2017 menggunakan sumber air lereng bukit.
SISTEM UF dipasang di Ulu Tual, Kuala Lipis, Pahang pada tahun 2017 menggunakan sumber air lereng bukit.
A
A
A

SESETENGAH masyarakat di negara ini masih terus bergantung kepada sumber air mentah seperti air telaga atau sungai, demi kelangsungan hidup.

Antara penyebabnya, kedudukan kampung yang terperosok jauh menyukarkan bekalan air bersih disalurkan daripada paip utama. Kemelut itu yang sering berlaku di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Di sesetengah penempatan di beberapa negeri di Semenanjung pula, isu bencana alam yang melanda acap kali dilaporkan menjejaskan kemudahan saluran air bawah tanah.

Pernah berlaku misalnya ketika musibah banjir terburuk di Kelantan pada 2014 menjejaskan loji rawatan air dan telaga tiub di kampung terjejas. Ya, bukan mudah untuk mengembalikan semuanya dalam keadaan sempurna dalam tempoh singkat.

Kesukaran itulah yang mendorong sepasukan penyelidik Universiti Malaya (UM) menyediakan penyelesaian praktikal kemudahan air untuk masyarakat terutama yang hidup di kawasan terpencil.

Empat penyelidik universiti terkemuka negara itu telah merintis Solar Powered Automated Backwash Ultrafiltration System, teknologi ultrafiltrasi (UF) mudah alih. Projek itu memudahkan transformasikan sumber air kepada air bersih tanpa sebarang bahan kimia.

Penyelidikan yang wajar diberi pengiktirafan tersebut diketuai Profesor Dr Mohd Azlan Hussain bersama Profesor Dr Mohamed Kheireddine Aroua, Dr Mohd Usman Mohd Junaidi dan Rustam Ramlan.

Dimulakan sejak tahun 2014, kajian masih berterusan itu menerima pembiayaan geran Kementerian Pengajian Tinggi (kini Kementerian Pendidikan), Program Transformasi Luar Bandar, Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 (NBOS4).

Artikel Berkaitan:

Penyelidikan itu turut melebarkan jalinan kolaboratif bersama syarikat sistem paip dan automasi industri, Berqat Mechanic Engineering Sdn Bhd untuk membantu di kawasan pedalaman yang memerlukan.

Setakat ini, lima lokasi terpencil menerima kemudahan projek UF seperti RH Senabong dan Kampung Perpat, Sarawak; Ulu Tual, Kuala Lipis, Pahang; Pos Niah, Perak dan Felda Chiku, Gua Musang, Kelantan.

PENEMPATAN penduduk di RH Senabong, Sarawak turut menggunakan sistem UF menggunakan sumber mata air sejak tahun 2016.
PENEMPATAN penduduk di RH Senabong, Sarawak turut menggunakan sistem UF menggunakan sumber mata air sejak tahun 2016.

Reka bentuk

Mengulas lanjut mengenai fitur tersebut, Dr Azlan menjelaskan, sistem UF direkabentuk di Jabatan Kejuruteraan Kimia, UM untuk menghasilkan air bersih daripada pelbagai jenis sumber air.

Menariknya, alat itu boleh dipasang dan dikendalikan secara automatik. Mempunyai modul membran yang berkualiti tinggi, penggunaannya hanya dengan menekan satu butang sahaja!

“Hasil kajian menunjukkan bahawa air yang dihasilkan adalah selamat untuk diminum dan digunakan penduduk kampung. Alat dikendalikan tanpa sebarang penggunaan bahan berbahaya.

“Unit UF terkini dinaiktaraf dan dipasang dengan sistem solar bagi menampung keperluan sumber bekalan kuasa di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan bekalan elektrik,” ujarnya.

Mengenai keupayaan sistem UF, Dr Azlan berkata, projek mesra alam dengan sosioekonomi berimpak tinggi itu menjadi penyelesaian kepada isu keselamatan air bersih ketika berlaku kecemasan di kawasan pedalaman.

Sistem terbabit ditambah baik dengan inovasi baharu.

"Sistem ini ada kebolehan untuk basuh semula (backwash) secara automatik. Contohnya jika sistem UF sudah kotor, inovasi tersebut akan bertindak secara automatik melalui pengesan yang terdapat dalam sistem.

“Selain dibina secara kompak dan mudah alih, sistem itu menggunakan pelbagai jenis punca kuasa termasuk tenaga solar sekali gus membantu menjimatkan kos,” katanya kepada e-Trend baru-baru ini.

SEKOLAH agama di Felda Chiku, Gua Musang turut menikmati kemudahan bekalan air bersih selepas sistem UF dipasang di sekolah itu menggunakan sumber air bawah tanah pada tahun 2018.
SEKOLAH agama di Felda Chiku, Gua Musang turut menikmati kemudahan bekalan air bersih selepas sistem UF dipasang di sekolah itu menggunakan sumber air bawah tanah pada tahun 2018.

Membran sintetik

Sudah tentu sesuatu yang melegakan apabila sistem digunapakai dapat memisahkan bakteria dan virus tertentu daripada sampel air untuk menghasilkan air minuman selamat untuk penggunaan manusia.

Bagaimana ia berfungsi? Biasanya menggunakan membran sintetik separuh telap dengan saiz liang 20 hingga 35 nano meter (nm) untuk aplikasi rawatan air, terang Dr Azlan.

"Ini berbeza dengan loji rawatan air konvensional yang menggunakan penapis pasir atau media lain bagi rawatan air.

“Sistem mudah alih itu boleh dihantar ke tapak ujian dalam masa yang singkat. Ia berupaya memproses jumlah air antara 200 hingga 800 liter per jam bergantung kepada kualiti air mentah,” bicaranya.

Bertujuan membangunkan sistem kawalan automatik yang mantap untuk proses UF bagi mengendalikan penapisan dan basuh semula secara optimum yang tidak wujud di dalam sistem UF sedia ada. Itu matlamat utama projek.

Imbas Dr Azlan, pada mulanya, unit itu diuji merawat sisa air kumbahan daripada sebuah syarikat untuk dikitar semula menjadi bekalan air bersih. Proses dilakukan selama beberapa bulan pada akhir tahun 2014.

“Ketika Malaysia dilanda musibah banjir yang teruk di Pantai Timur sehingga menjejaskan bekalan air bersih untuk tempoh masa yang lama, itulah yang mendorong pihak universiti menghulurkan bantuan,” ujarnya lagi.

Sistem UF yang dibangunkan secara manual di Kampung Kuala Sungai, Gua Musang Kelantan pada tahun 2015.
Sistem UF yang dibangunkan secara manual di Kampung Kuala Sungai, Gua Musang Kelantan pada tahun 2015.

Sistem basuh semula

Terdapat produk lain yang berfungsi persis sistem UF. Pun demikian, bagi Dr Mohamed Kheireddine pula, kebanyakannya tidak mempunyai sistem basuh semula automatik.

Jelas beliau itu adalah salah satu ciri penting untuk meningkatkan tempoh hayat sistem berkaitan.

“Apa yang paling utama, unit kami hasilkan tidak menggunakan sebarang bahan kimia semasa menghasilkan air bersih. Operasinya menggunakan ciri mudah berkonsepkan pasang dan pakai (plug and play).

“Ciri itu sangat mustahak supaya penduduk kampung mudah menyelenggarakan dan membersihkannya. Ketahanannya lama sehingga lebih lima tahun,” kata mantan Timbalan Dekan Institut Pengurusan dan Perkhidmatan Penyelidikan UM itu.

Seperkara tentang pelaksanaan sistem UF, Dr Mohamed Kheireddine berkata, terdapat faedah-faedah lain fitur baharu itu yang disenaraikannya.

Bukan sahaja boleh digunakan di kawasan terpencil, ia juga boleh dimanfaatkan untuk kem tentera, hospital, sekolah, tapak perkhemahan dan industri yang berdepan masalah bekalan sumber air bersih.

“Secara umum, sistem novel yang dibangunkan oleh unit kami boleh digunakan di mana-mana sahaja.

"Ia mengubah kepada air bersih meskipun kawasan tersebut berdepan isu bekalan tercemar,” ungkapnya.