X

Kindly register in order to view this article
!

JPJ Kelantan keluarkan 412 saman dalam tempoh tiga hari

Hanif (kiri) turut serta dalam operasi yang dijalankan di Akademi JPJ Wilayah Timur Jalan Kuala Krai di sini malam tadi.
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan 412 notis saman dalam tempoh tiga hari Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baru Cina yang bermula Isnin lalu.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak mempunyai lesen memandu, tidak menggunakan topi keledar mengikut spesifikasi dan teknikal kenderaan itu sendiri.

"Dalam operasi sama kita turut mengeluarkan 25 notis arah pemeriksaan kenderaan dan 30 notis larangan penggunaan kenderaan.

"Sebanyak 535 jenis kesalahan berjaya dikesan dan 205 buah kenderaan diambil tindakan, namun tiada kenderaan disita sepanjang operasi dijalankan," katanya kepada media semasa Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baru Cina 2020 di Akademi JPJ Wilayah Timur Jalan Kuala Krai malam tadi.

Terdahulu, beliau bersama anggota turut serta dalam operasi yang dijalankan di hadapan Akademi JPJ Wilayah Timur Jalan Kuala Krai tersebut.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan bagi memastikan pengguna terutama penunggang motosikal mempunyai kesedaran serta mematuhi peraturan jalan raya.

Beliau berkata, kehilangan nyawa melibatkan pengguna motosikal masih lagi tinggi iaitu 65 peratus daripada 356 kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya.

"Pada tahun lalu, sebanyak 10,323 kes kesalahan melibatkan motosikal telah diambil tindakan.

"Strategi yang digunakan diharap dapat meningkatkan kesedaran kepada orang ramai untuk mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

"Kali ini kita menjangkakan sebanyak 1 juta kenderaan akan masuk ke Kelantan sepanjang musim perayaan dan kita nasihatkan supaya semua pengguna jalan raya terutama motosikal lebih berhati-hati semasa memandu," katanya.

Dalam operasi yang sama juga, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah menahan seorang pemandu dan sorang penunggang motosikal kerana positif dadah jenis methamphetamine.