X

Kindly register in order to view this article
!

Kuaci Cap Helang Tahun Tikus

Gambar hiasan
A
A

KEPADA sesiapa yang berkenaan, ikhlas saya mengucapkan selamat menyambut Tahun Tikus. Saya selalu ada kenangan setiap kali perayaan Tahun Baru Cina.

Zaman kanak-kanak lebih 60 tahun dulu, setiap kali tiba raya Cina saya dan kawan-kawan bukan Cina – ada India, Punjabi, Serani – sama-sama ber-Gong Xi Fa Cai.

Walaupun emak dan abah kuat beragama tidak pula mereka melarang saya ke rumah kawan-kawan Cina pada pagi tahun baharu.

Abah cuma berpesan: “Kalau dia hidangkan nasi, jangan makan, takut dia bubuh babi, berdosa, mati masuk neraka...”

Opah lebih tegas dan kedengaran rasis: “Engkau jangan bersalam dengan Cina kafir tu, tangan dia pegang babi najis, berak pun tak cebuk. Dia orang tu bila mampus nanti semua masuk neraka!”

Setegas-tegas dan serasis-rasis opah pun tidak pernah dia melarang saya bermain mercun dan ber’dong-dong-ceng’ semasa raya Cina.

Saya diraikan dengan penuh mesra di rumah rakan-rakan Cina, lebih-lebih lagi di kedai Ah Goh yang menjadi tempat orang kampung berbelanja harian.

Ah Goh anak beranak sudah seperti abang-adik. Hari-hari biasa dia kedekut ketika berjual-beli, kadang-kadang kita tahu dia menipu timbangan. Tetapi sepanjang Gong Xi Fa Cai dia menjadi orang pemurah, boleh lepak di kedainya hingga ke petang.

Kita dijamu macam-macam tetapi tidak ada nasi atau makanan berkuah. Mana-mana rumah yang kita pergi pun tidak ada makanan haram dihidangkan.

Apa yang ada dan menjadi kesukaan kanak-kanak ialah limau mandarin, kacang, kuaci Cap Helang, gula-gula, biskut lemak.

Tidak ada arak atau samsu, kami dihidangkan dengan oren dan sarsi yang botolnya seperti botol kicap. Waktu itu oren dan sarsi dikira minuman mewah dan jarang dapat, saya balun cukup-cukup.

Paling seronok ialah setiap rumah yang kita pergi kita dapat duit angpau – ada yang bagi 5 sen, 10 sen, paling besar 20 sen. Kutipan sepanjang hari boleh mencecah RM2, jadi kaya!

Opah pun suka apabila diberitahu saya dapat banyak duit. Tidak pula dia bertanya duit yang dipegang oleh Ah Goh itu ada najis babi atau tidak.

Saya dan kawan-kawan berjoli sakan selama seminggu menggunakan duit angpau. Duit itu akhirnya berbalik semula ke kedai Ah Goh untuk gula-gula dan kuaci.

Waktu itu sebungkus kuaci Cap Helang hanya 5 sen, beli 10 sen dapat tiga bungkus. Oren hanya 15 sen sebotol. Pendek kata ketika itu Gong Xi Fa Cai selalu saya nantikan sama seperti Aidilfitri, Deepavali dan lain-lain perayaan.

Sampai kini saya mengunjungi jiran-jiran Cina untuk sama-sama merasakan tahun baharu mereka. Lebih meriah dan saling menghormati.

Belum pernah saya dijamu ‘bak kut teh’ atau makanan dan minuman haram di mana-mana rumah yang saya kunjungi. Tidak ada masalah langsung.

Maka saya tidak nampak apa salahnya sebuah sekolah di Puchong, Selangor menggantung tanglung sebagai persiapan perayaan Tahun Baru Cina.

Ada NGO Islam menyanggah menghias sekolah dengan tanglung itu bercanggah dengan perlembagaan negara. Konon hiasan tanglung seperti itu adalah satu percubaan memesongkan akidah murid-murid Islam di sekolah berkenaan. Lemah sangatlah keimanan orang Islam kita sehingga tanglung pun boleh memesongkan akidah. Pada hal tanglung tidak ada kaitan dengan mana-mana agama.

Demikian jugalah tidak masuk di akal saya ketakutan NGO totok Cina Dong Zong terhadap pengajaran tulisan jawi kerana tulisan Melayu itu dikatakan percubaan mengIslamkan murid bukan Islam.

Kita terlalu tunduk dengan tuntutan kalut pertubuhan Cina itu dan cepat mengalah sehingga terpaksa membuang seorang menteri, Dr Maszlee Malik.

Kenapa kita kena tunduk dan takut sangat pada Dong Zong? Dia bukan kerajaan! Padahal yang kerajaan hendak hanyalah murid bukan Melayu belajar tulisan jawi sama seperti orang belajar tulisan Tamil atau tulisan Mandarin.

Belajar tulisan jawi tidak ada kena mengena dengan agama Islam. Lainlah kalau disuruh – atau dipaksa – masuk jawi!

Nota: masuk jawi ialah perkataan lain untuk berkhatan @ bersunat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!