Suara kemanusiaan dalam isu PSS

Isu PSS tidak boleh sekadar dilihat sebagai masalah pengurusan pendatang asing di Sabah semata-mata sebaliknya ia juga adalah masalah negara.
Isu PSS tidak boleh sekadar dilihat sebagai masalah pengurusan pendatang asing di Sabah semata-mata sebaliknya ia juga adalah masalah negara.
A
A
A

SEJAK 50 tahun lalu terdapat seramai 136,055 pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama dari Filipina yang sudah menetap di Sabah.

Bagi mengatasi gejala itu, Jabatan Imigresen telah mengeluarkan dokumen yang dikenali sebagai IMM13 kepada pelarian perang yang berhijrah dari selatan Filipina ke Sabah pada tahun 1970-an. Pelarian perang itu berlindung di Sabah ketika peningkatan keganasan puak pemisah di pulau Mindanao yang menyaksikan ramai pelarian lari daripada rejim kuku besi Ferdinand Marcos.

Pada tahun 1980-an, Kad Burong-Burong telah dikeluarkan kepada pendatang asing dari Filipina pada era kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) menerusi Jabatan Ketua Menteri (JKM).

Kemudian kad Sijil Banci telah dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 1990-an.

Pada masa ini, pada tahun 2020, terdapat seramai 51,645 pemegang IMM13, pemegang Sijil Banci (47,518) dan pemegang kad Burong-Burong (39,892).

Apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara pada Mei 2018, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada warga asing yang memegang tiga dokumen tersebut di Sabah berkuat kuasa pada 1 Jun 2020.

Bagaimanapun, usaha itu mendapat tentangan daripada beberapa pihak di negeri Sabah sehingga ada pihak tertentu menimbulkan ketakutan kepada rakyat mengenai sejarah hitam yang dikenali sebagai Projek IC yang terkenal pada tahun 1990-an. Kononnya projek itu akan kembali dilaksanakan.

Projek IC ialah penyelewengan yang dilakukan oleh pihak tertentu dengan memberikan kad pengenalan kepada PATI sehingga mengakibatkan berlaku ketidakseimbangan penduduk di Sabah.

Artikel Berkaitan:

Penduduk Sabah dilaporkan berjumlah 648,693 pada tahun 1970 dan meningkat secara beransur-ansur kepada 1.01 juta pada tahun 1980, namun jumlah penduduk di negeri itu meningkat secara mendadak kepada 2.6 juta menjelang tahun 2000.

Bagaimanapun, komposisi penduduk Sabah berubah mendadak dengan kumpulan etnik terbesar, Kadazandusun Murut (KDM) merosot daripada 37 peratus pada tahun 1960-an menjadi hanya 23 peratus pada tahun 2006.

Ada pihak mendakwa pada 2012 terdapat kira-kira 700,000 warganegara daripada Projek IC dan 200,000 daripada mereka adalah pengundi.

Pihak tertentu menuduh perbuatan itu dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dalang Projek IC namun Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai masalah pendatang asing di Sabah mengesahkan tiada pemimpin kerajaan atau parti politik terlibat dalam pengeluaran kerakyatan kepada pendatang asing di negeri itu.

Laporan RCI itu telah berjaya mengenal pasti sindiket melibatkan bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang didakwa mengeluarkan kerakyatan secara haram dengan bayaran jutaan ringgit.

Dalam pada itu, Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis, Barisan Nasional (BN) menggunakan PSS sebagai senjata untuk menawan semula hati pengundi. BN menang di Kimanis, yang meletakkan PH dan Warisan dalam tekanan.

Sungguhpun begitu, ada penganalisis politik melihat punca sebenar kekalahan tersebut itu bukanlah isu PSS, tetapi adalah disebabkan oleh kegagalan kerajaan PH untuk menunaikan janji.

Nasib yang bakal menimpa 136,055 PATI yang sudah lima dekad tinggal di negeri itu sebenarnya perlu juga dilihat dari sudut kemanusiaan.

Isu PSS tidak boleh sekadar dilihat sebagai masalah pengurusan pendatang asing di Sabah semata-mata sebaliknya ia juga adalah masalah negara. Isu ini akan menjadi perhatian dunia.

Lihat apa yang berlaku kepada masyarakat Rohingya dari Myanmar yang kini menjadi pelarian di beberapa buah negara termasuk di Malaysia.

Seluruh dunia menyaksikan masyarakat itu menjadi mangsa kepada kekejaman dan penindasan pihak berkuasa di negara ASEAN itu.

Bak kata Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mengulas mengenai isu PSS, ada banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah imigran di negeri tersebut.