Kawah asteroid tertua di dunia berusia 2.2 bilion tahun

Hakisan sejak berbilion tahun lalu menyebabkan kawah tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan saintis perlu memetakan impak pada kawasan medan magnet untuk mengesahkan diameter berukuran 70 kilometer terbabit. - Foto Agensi
Hakisan sejak berbilion tahun lalu menyebabkan kawah tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan saintis perlu memetakan impak pada kawasan medan magnet untuk mengesahkan diameter berukuran 70 kilometer terbabit. - Foto Agensi
A
A
A

SYDNEY - Para saintis telah mengenal pasti kawah asteroid tertua di dunia di Australia yang mungkin boleh memberi penjelasan bagaimana bumi beralih dari Zaman Ais.

Penyelidik memaklumkan asteroid terbabit melanda Yarrabubba di Australia Barat kira-kira 2.2 bilion tahun lalu sekali gus membentuk kawah yang berusia kira-kira separuh usia bumi.

Kesimpulan itu dicapai berdasarkan ujian mineral pada batu berkenaan dan para saintis menyifatkan ia sebagai penemuan yang menarik kerana boleh memaparkan peristiwa pemanasan ketika era tersebut.

Laporan kajian itu turut diterbitkan dalam jurnal Nature Communications semalam.

Difahamkan, kawah tersebut ditemui di kawasan pedalaman pada 1979, namun ahli geologi tidak pernah menguji untuk mengetahui usia sebenarnya.

Hakisan sejak berbilion tahun lalu menyebabkan kawah tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan saintis perlu memetakan impak pada kawasan medan magnet untuk mengesahkan diameter berukuran 70 kilometer terbabit.

"Landskap itu sangat rata kerana usianya berbilion tahun, namun batuannya mempunyai ciri tersendiri," kata penyelidik, Profesor Chris Kirkland.

Menurutnya, mereka dapat mengira usia sebenar kawah tersebut berdasarkan kristal pada batu itu yang mengandungi sejumlah kecil uranium yang merosot pada kadar konsisten.

Artikel Berkaitan:

"Ia berusia 200 juta tahun lebih tua berbanding impak struktur, Vredefort Dome di Afrika Selatan.

"Kami tertarik dengan kawasan itu kerana landskap Australia Barat adalah sangat usang dan kami tidak jangkakan kawah tersebut berusia berbilion tahun seperti itu," katanya. - Agensi