Terus sebar mesej Islam sebenar melalui lagu

Maher Zain. - Foto SINAR HARIAN oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A

PENYANYI terkenal, Maher Zain tidak akan berhenti menyebarkan mesej tentang Islam melalui lagu-lagunya terutama kepada peminat di barat.

Menurutnya, imej Islam yang dilihat salah di mata bukan Muslim pada hari ini perlu diperbetulkan dan sebagai umat Islam kita wajar melakukannya.

"Dalam lagu-lagu saya memang saya cuba sampaikan mesej tentang Islam dan saya cuba mengubah perspektif orang lain terhadap Islam terutama di barat.

"Sebab imej Islam yang ditonjolkan hari ini sangat salah, malang sekali. Jadi kita mesti cuba sedaya upaya untuk mengubahnya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, kelmarin.

Meskipun tidak ada lagu khusus untuk tujuan itu namun penyanyi kelahiran Lubnan ini mengakui sedang mencipta lagu yang bersesuaian.

Kunjungan Maher Zain ke Malaysia kali ini bagi mempromosikan konsertnya, Mac nanti.

'Konsert Zain Malaysia Tour 2019’ bakal berlangsung di Kuala Lumpur Johor Bahru, Pulau Pinang dan Sabah.