Graduan UPSI dipasarkan ke peringkat antarabangsa

Mohammad Shatar (dua dari kiri) bersama Pro-Naib Canselor (Antarabangsa) NTU, Profesor Cillian Ryan menandatangani dokumen MoU di universiti berkenaan. Foto ihsan UPSI
Mohammad Shatar (dua dari kiri) bersama Pro-Naib Canselor (Antarabangsa) NTU, Profesor Cillian Ryan menandatangani dokumen MoU di universiti berkenaan. Foto ihsan UPSI
A
A
A

SHAH ALAM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan memastikan guru-guru yang dilahirkan mereka memasuki pasaran peringkat antarabangsa hasil pemeteraian memorandum perjanjian persefahaman (MoU) bersama Nottingham Trent University (NTU), England semalam.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, ia sekali gus menjadi langkah permulaan untuk 2020 bagi merealisasikan agenda ‘UPSI The Next Level’ dan ‘UPSI Global’.

Menurutnya, usaha itu diambil kerana pasaran guru di peringkat nasional dilihat sudah semakin terhad yang menyebabkan usaha universiti untuk memasarkan guru lepasan UPSI di negara ini sudah tidak memadai.

“Jadi kita membuat keputusan untuk memasarkan mereka ke persada antarabangsa sama ada dihantar ke sekolah antarabangsa dalam negara atau sekolah swasta dalam negara atau ke luar negara seperti di Australia, United Kingdom atau negara-negara jiran.

”UPSI akan memastikan graduan terbabit memenuhi beberapa kriteria utama seperti kemampuan menguasai bahasa Inggeris, selain memiliki sijil-sijil pentauliahan kualiti graduan hasil MoU bersama NTU yang akan membantu meningkatkan kualiti graduan UPSI menerusi program sangkutan (mobility) atau kursus jangka pendek untuk graduan supaya mampu dipasarkan ke luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohammad Shatar berkata, hasil MoU itu juga memberi penekanan kepada latihan supaya pensyarah diberi nilai tambahan agar mempunyai kemahiran luar biasa menerusi pendedahan antarabangsa (attachment) sekali gus mampu melaksanakan pedagogi terkini yang sesuai dengan pengajaran abad 21.

Beliau berkata, UPSI juga akan bekerjasama dengan NTU dalam menganjurkan kursus-kursus jangka pendek untuk guru yang sedang mengajar atau pentadbir sekolah untuk diberikan sijil tambahan termasuk kepada mereka yang sedang belajar di universiti awam atau institut perguruan.

“Menerusi kolaborasi ini juga, UPSI akan mengadakan program profesional sarjana dan doktor falsafah yang akan diubahsuai untuk keperluan UPSI supaya pelajar pascasiswazah diterima di peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pada masa sama, UPSI akan turut mendapatkan pengesahan daripada NTU untuk program-program pendidikan di Malaysia khususnya di UPSI agar graduan guru diterima majikan luar negara termasuk England.