X

Kindly register in order to view this article
!

Tinggal di bangsal dalam hutan elak dicekup

Anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan terhadap seorang warga Bangladesh yang ditahan bersembunyi di dalam bangsal. - Foto Jabatan Imigresen Terengganu
A
A

KUALA NERUS - Lima warga Bangladesh sanggup tinggal di bangsal beralaskan plastik dan berbumbungkan kanvas di dalam hutan berhampiran Jalan Merang, Kampung Mengabang Bakon di sini semata-mata mahu mengelak dikesan penguat kuasa.

Bagaimanapun, taktik mereka membina bangsal kononnya untuk menggantikan rumah kongsi itu berjaya dihidu anggota Jabatan Imigresen Terengganu yang membuat serbuan di kawasan berhampiran kira-kira jam 11.10 malam kelmarin.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu, Malik Zaliman Deraman berkata, hanya tiga daripada lima buruh binaan berkenaan berada di dalam bangsal tersebut ketika serbuan diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Mohd Muda.

"Dua lagi ditemukan bersembunyi di dalam bumbung rumah kongsi yang turut dijadikan sarang burung walit ketika pemeriksaan lanjut dilakukan.

"Usaha mereka elak dicekup gagal kerana seluruh kawasan tersebut dikepung sebelum mereka yang berusia 32 hingga 41 tahun ditahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan 19 anggota dalam Operasi Bersepadu Belanja/Kutip/Sapu selama 15 jam berakhir 12 tengah malam itu mendapati kelima-lima warga asing tersebut tidak memiliki permit sah dan mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen.

Salah seorang warga Bangladesh dijumpai sedang bersembunyi di dalam bangsal yang dibina di dalam hutan bagi mengelak dihidu pihak berkuasa. - Foto Jabatan Imigresen Terengganu
Salah seorang warga Bangladesh dijumpai sedang bersembunyi di dalam bangsal yang dibina di dalam hutan bagi mengelak dihidu pihak berkuasa. - Foto Jabatan Imigresen Terengganu

Katanya bangsal tersebut antara 15 lokasi serbuan dilakukan jabatan tersebut termasuk di tapak pembinaan, kedai makan, rumah kongsi, rumah sewa di Kuala Nerus, Marang, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

"Dalam operasi kali ini, seramai 27 warga asing yang berusia dari 20 hingga 54 tahun ditahan terdiri daripada 25 lelaki dan dua wanita dari Bangladesh, Indonesia dan Thailand.

"Mereka antara 119 individu diperiksa dan dipercayai menyalah guna pas lawatan sosial, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Zaliman berkata, kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke Depot Imigresen, Ajil, Hulu Terengganu untuk disiasat di bawah Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.