Sundra Rajoo bebas tuduhan pecah amanah lebih RM1 juta

Sundra Rajoo - Foto Bernama
Sundra Rajoo - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini membatalkan tiga pertuduhan pecah amanah dana Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) lebih RM1 juta yang dihadapi bekas pengarahnya Datuk Dr N Sundra Rajoo.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember tahun lepas yang memutuskan Sundra Rajoo mendapat imuniti daripada sebarang tindakan sivil dan jenayah sewaktu beliau memegang jawatan itu.

"Kes ini dibatalkan dan jumlah jaminan RM100,000 dikembalikan manakala pasport antarabangsa (Sundra Rajoo) dipulangkan," katanya semasa sebutan kes itu.

Mahkamah juga menolak permohonan pendakwaan untuk satu tarikh lain ditetapkan bagi pengurusan kes sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zaki Mohd Salleh memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes atas alasan keputusan yang diputuskan Mahkamah Tinggi itu salah dan tidak sah.

"Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu telah difailkan oleh kerajaan di Mahkamah Rayuan," kata Mohd Zaki.

Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu, yang mewakili Sundra Rajoo berkata, sekiranya keputusan Mahkamah Tinggi tidak dipatuhi ia akan membawa kepada tindakan menghina mahkamah.

Pada 31 Disember tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya dalam penghakimannya berkata, keputusan pendakwa raya untuk mendakwa Sundra Rajoo tertakluk kepada semakan kehakiman.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan pendakwaan jenayah yang dikenakan terhadap pemohon (Sundra Rajoo) oleh responden (pendakwa raya) bertentangan dengan Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992 dan oleh itu ia tidak sah dan tidak mengikut undang-undang serta harus dibatalkan.

“Pemohon dilindungi oleh undang-undang dan mempunyai imuniti daripada disaman dan proses perundangan yang lain berhubung dengan sebarang tindakan yang dilakukannya atas kapasiti beliau sebagai pegawai tersebut seperti yang diperuntukkan di bawah Bahagian II Jadual Kedua Akta 485. Proses perundangan yang lain termasuk prosiding sivil dan jenayah,” kata Mariana.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Sundra Rajoo bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau mempunyai imuniti terhadap sebarang tindakan yang dilakukan dalam kapasiti beliau sebagai pegawai tinggi AIAC.

Pada 26 Mac tahun lepas, Sundra Rajoo, 64, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah dana AIAC lebih RM1 juta, yang didakwa dilakukan antara 8 Disember 2016 dan 17 Ogos, 2018. - Bernama