Ibu tunggal didakwa sebabkan kematian anak

Tertuduh dibawa keluar selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
Tertuduh dibawa keluar selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyebabkan kematian anaknya yang berusia 3 tahun di Taman Indah Kempas pada 13 Januari lalu.

Tertuduh, Nurul Shamira Mazlan, 22, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan dan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Rashidah Baharom.

Mengikut pertuduhan dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas anak perempuannya, Nur Shahana Abdus Quddus di sebuah pangsapuri di Jalan Kempas Indah, Taman Kempas Indah, Kempas, di sini antara 5 hingga 11 Januari lalu.

Tertuduh diwakili tiga peguambela, Muhammad Ashraff Mohd Diah; Mohd Norazihan Adnan dan Jack Sumatra manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Benedict Choong Kai-Qi.

Majistret Rashidah kemudiannya menetapkan 24 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati sekiranya disabit kesalahan.

Pada 14 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia dipercayai didera ibu kandung dan teman lelakinya.

Kanak-kanak itu meninggal dunia kira-kira jam 12.10 tengah hari ketika sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini akibat masalah jangkitan kuman.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan fizikal yang dijalankan mendapati terdapat kesan lebam di kedua-dua bahagian tangan mangsa, selain di bahagian perut.

Turut ditemui kesan gigitan di kedua-dua tangan mangsa.