E-Wasiat MAIS tangani masalah pembahagian harta pusaka

Dr Ahmad Shahir
Dr Ahmad Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan e-Wasiat MAIS bagi memudahkan orang Islam di Negeri Selangor menulis wasiat dengan lebih mudah, pantas dan efektif menggunakan kaedah dalam talian.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, selepas diperkenal pada April 2018, perkhidmatan e-Wasiat menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat Islam di negeri ini.

Menurutnya, sehingga kini, lebih 2,000 pengguna sudah menggunakan perkhidmatan e-Wasiat tersebut.

"Melalui perkhidmatan e-Wasiat ini, MAIS berharap umat Islam khususnya di Selangor akan menggunakan kemudahan ini bagi pengurusan wasiat mereka.

"MAIS JUGA akan melaksanakan pengurusan, pembahagian wasiat dan harta pusaka dengan telus, adil serta profesional mengikut hukum syarak kepada benefisiari dan ahli waris.

"Keperluan ini selaras bidang kuasa di bawah Subseksyen 5 (4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003," katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, umat Islam digalakkan membuat pendaftaran awal menerusi e-Wasiat supaya dapat menangani masalah pembahagian harta pusaka apabila seseorang individu meninggal dunia.

Menurutnya, penulisan wasiat yang dibuat lebih awal dapat mengelakkan sebarang isu pergaduhan atau perebutan harta pusaka antara waris.

Artikel Berkaitan:

"Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan kepentingan penulisan wasiat ini, MAIS mempertingkatkan dakwah melalui pelbagai program khususnya di masjid, surau, jabatan-jabatan kerajaan dan agensi swasta.

"Dalam masa yang sama, MAIS juga menyediakan platform media sosial iaitu Facebook Majlis Agama Islam Selangor bagi memudahkan masyarakat berinteraksi dan mengetahui aktiviti dijalankan," katanya.

Sehubungan itu orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan e-Wasiat berkenaan boleh melayari laman sesawang www.mais.gov.my atau www.wasiat.com.my.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh dibuat dengan menghubungi pegawai di Bahagian Harta Baitulmal, MAIS di talian 03-5514 3773/3772 atau e-mel terus ke pro@mais.gov.my.